Bagaimana DAP boleh mengelak daripada menjadi MCA 2.0


Wan Hamidi Hamid

ADA pihak dalam DAP yang tidak puas hati dengan pelantikan menteri dan timbalan menteri bagi kerajaan baru Pakatan Harapan. Mereka menganggap nisbah jumlah dan peratusan jawatan dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad serta timbalan menteri tidak selaras dengan kerusi Parlimen yang DAP menangi.

Kekecewaan sesetengah ahli dan pemimpin DAP dapat difahami. Mereka terpaksa menelan kepahitan realiti politik negara yang masih berteraskan kaum dan agama serta hegemoni yang ditinggalkan Umno.

Realiti politik bukan sahaja melibatkan kedudukan kurang seimbang dalam Kabinet serta timbalan menteri, tetapi di peringkat negeri.

DAP memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri terbanyak di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor tetapi realiti politik serta undang-undang tubuh negeri menafikan haknya untuk menjadi menteri besar atau ketua menteri.

Ia hanya boleh berbangga dengan kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi di negeri-negeri lain, ia terpaksa menyerahkan jawatan tertinggi kepada rakan-rakan komponen yang memperolehi kerusi yang sedikit.

Dalam keadaan itu, tentu ada kalangan DAP yang melenting apabila timbul suara sumbang dalam kalangan komponen PH yang tidak puas hati apabila DAP diberikan jawatan exco yang lebih sedikit berbanding parti-parti komponen di negeri-negeri tersebut.

Namun, itulah realitinya. Walau pedih macam mana sekali pun, DAP terpaksa mengetap bibir dan menerima hakikat politik semasa.

Nasib MCA pasca-2008

Kini timbul kebimbangan dalam kalangan DAP. Mereka bimbang kalau-kalau parti itu akan menjadi MCA 2.0.

MCA 2.0 merupakan istilah yang merujuk kepada nasib MCA selaku komponen Barisan Nasional (BN) yang suatu masa dahulu merupakan wadah untuk kaum Cina tetapi tersungkur menjadi parti kecil apabila ditolak oleh kaum Cina serta menjadi budak yang dibuli oleh Umno.

Kalangan DAP ini bimbang nasib yang sama akan menimpa mereka jika parti tidak diberikan lebih banyak jawatan dalam Kabinet serta timbalan menteri. Mereka mengukur kekuatan parti berdasarkan kedudukan Kabinet dan lantikan-lantikan berkaitan.

Saya berbeza pandangan dalam hal ini. Walau pun kita akui jumlah jawatan Kabinet dan timbalan menteri adalah penting, ia tidak mencerminkan keseluruhan kekuatan yang boleh disamakan dengan nasib MCA – malah nasib Gerakan dan MIC.

MCA menjadi parti yang dibuli oleh Umno sejak lebih 10 tahun lalu bukan kerana ia tidak mendapat jawatan Kabinet. MCA dipandang rendah oleh Umno yang mendominasi BN kerana ia hilang pengaruh apabila kaum yang dijuarainya telah menolak parti itu.

Ini berlaku kerana BN mengamalkan politik kaum. Amalan politik kaum dan keagamaan yang sempit hanya menguntungkan elit politik daripada kaum majoriti, walau pun kaum majoriti itu sendiri tidak mendapat banyak faedah.

Apabila kaum Cina melihat MCA gagal menjadikan BN sebagai kerajaan yang adil, lebih bersih, lebih saksama, tidak diskriminasi, tidak rasuah, dan tidak zalim, mereka memihak kepada pembangkang pada PRU2008.

Komponen BN gagal reformasi diri

Sejak 2008, MCA bersama Gerakan dan MIC serta parti-parti komponen BN yang lain berpeluang untuk mereformasikan diri tetapi sebaliknya pucuk pimpinan memilih jalan yang lebih berliku.

Mereka bermati-matian mempertahankan perdana menteri kesayangan mereka Najib Razak walau pun mengetahui dia pemimpin kleptokrat yang membusukkan nama Malaysia di seluruh dunia.

Dengan itu, berlaku penghijrahan politik kaum Cina kepada DAP. Sehubungan itu juga, banyak pihak melihat DAP kekal sebagai parti kaum Cina walaupun ia bukan hakikat sebenar perjuangan DAP sejak lebih 50 tahun lalu.

Matlamat DAP adalah untuk menjadi parti sosial demokrat unggul yang meraikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Namun, sehingga hari ini, masih ramai yang menganggapnya sebagai parti untuk kaum Cina, seperti mereka melihat MCA.

Oleh itu, persoalan sama ada DAP akan menjadi MCA 2.0 – sebagai satu sindiran – bukan ditentukan atas jumlah jawatan Kabinet dan timbalan menteri atau apa-apa lantikan lain.

Ruang baru untuk DAP

Ini bukan alasan saya untuk mengemukakan justifikasi DAP mengapa tidak mendapat jawatan yang dituntutnya. Saya sekadar mencadangkan apa yang sebenarnya perlu dilaksanakan bagi memastikan DAP tidak menjadi MCA 2.0.

Walaupun mungkin tidak puas hati sepenuhnya, DAP menerima jawatan Kabinet dan timbalan menteri yang diagihkan mengikut susunan tradisi berasaskan peranan kaum. Ini sudah lama menjadi amalan tanpa banyak perubahan.

Ini bermaksud DAP tidak mendapat (dan mungkin tidak menuntut) portfolio yang berkaitan dengan kaum majoriti seperti sektor-sektor yang melibatkan petani, nelayan, Felda, Felcra, perkhidmatan awam dan yang berkaitan dengannya. Sektor-sektor ini penting jika DAP serius mahu mendekati masyarakat  Melayu, dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Sebagai pembangkang selama lebih 50 tahun, DAP disekat daripada memasuki ruang kaum majoriti ini. Kini ia terbuka luas.

Jadi, walaupun tidak diberi peranan khusus dalam sektor-sektor ini, wakil-wakil rakyat DAP masih berpeluang menceburkan diri. Mereka boleh menyumbang tenaga dan pemikiran mereka untuk berkhidmat dengan menteri-menteri lain daripada parti komponen PH dalam bidang-bidang tersebut.

Jika DAP mahu berkongsi prinsip keadilan, kebebasan dan demokrasi dengan masyarakat majoriti Malaysia, inilah masa yang terbaik untuknya mendekati diri dengan lebih intim.

Ia bukan sekadar soal meluaskan pengaruh politik. Ia juga penting kerana masih ada anasir-anasir jahat yang terus memfitnah DAP dengan tuduhan yang tidak masuk akal dan keji – dan masih dipercayai sesetengah kalangan masyarakat, terutamanya orang Melayu.

Semoga DAP reda dengan kedudukannya dalam kerajaan PH, dan pada masa yang sama, bergerak aktif bersama rakan-rakan PH untuk meneruskan agenda reformasi – bukan sekadar kemajuan fizikal tetapi juga keterbukaan minda dan kebijaksanaan berfikir secara rasional dan adil.

Mencapai kemenangan bukanlah sesuatu yang senang tetapi ia sedikit lebih mudah berbanding usaha mereliasasikan harapan, janji dan idealisme. Apa pun, DAP perlu move on dan terus berjuang. – 6 Julai, 2018.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tanggung sendirilah..siapa suruh?

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Mohammad Simon Adam Sikat · Ulasan