Najib patut main dengan cucu


SAYA ingin merujuk kenyataan bekas perdana menteri Malaysia ke-6 Najib Razak di Malaysiakini yang bertarikh 5 Julai 2018. Saya amat percaya kenyataan ini dibuat selepas beliau merasa amat sedih dan kecewa kerana majoriti rakyat Malaysia telah menolak seluruh kepimpinannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selaku mantan ketua Wira Perkasa Malaysia saya terpanggil membalas kenyataan yang dibuat beliau yang menyebut Perdana Menteri Malaysia kini iaitu Dr Mahathir Mohamad bersekongkol dengan pergerakan pelampau Melayu, Perkasa.

Pertamanya saya ingin bertanya kepada beliau. Adakah beliau tahu akan peranan Perkasa? Benarkah Perkasa pergerakan pelampau Melayu?

Semasa saya memegang jawatan ketua Wira Perkasa Malaysia, kita tidak pernah membuat tindakan yang melanggar undang-undang dan Perlembagaan. Kita hanya mempertahankan hak yang sepatutnya dibuat.

Jadi, apa tindakan kami yang dikatakan sebagai pergerakan pelampau Melayu?

Malah, apa yang terjadi pada orang Melayu pada hari ini kesan akibat pengkhianatan beliau kepada bangsa sendiri.

Semasa zaman pemerintahan beliau, siapakah yang menjadi presiden Umno?

Sekiranya ada antara pemimpin parti itu membuat kenyataan dan tindakan tidak baik secara terus kepada parti lain apakah tindakan tersebut dibenarkan berlaku?

Apakah presiden parti tidak boleh menghalang dan memastikan ianya tidak berulang?

Kalau tidak boleh bertanggungjawab janganlah jadi presiden! Saya amat hairan, bagaimana pemimpin begini dianggap pejuang rakyat.

Sudahlah gagal memerintah negara, malah gagal juga bertanggungjawab menjadi pemimpin.  

Saya amat suka mengingatkan kepada Najib, saya bersama kepimpinan Wira pernah minta beliau letak jawatan pada Ogos 2013.

Mengapa kami bertindak sedemikian? Saya ingin menggunakan peribahasa ini untuk kenyataan beliau – “kata paku dulang serpih, kata orang dia yang lebih”.

Adakah beliau lupa, ketika itu kami bertindak sedemikian kerana beliau tidak mempedulikan suara rakyat. Satu demi satu kerosakan yang beliau buat. Jelas, beliau mengkhianati rakyat Malaysia.

Saya percaya jika beliau mendengar nasihat dan meletakkan jawatan ketika itu, apa yang dilalui oleh beliau pada hari ini tidak mungkin akan berlaku.

Rakyat telah memilih kerajaan baharu untuk mentadbir Malaysia. Belajar terima hakikat dan kenyataan bahawa hari ini beliau sudah tidak berkuasa lagi. Kerosakan yang dibuat beliau menyebabkan rakyat tidak dapat menahan kepayahan dan keperitan hidup.

Janganlah cuba mengeruhkan keadaan yang kini sedang dalam pemulihan.

Seorang pemimpin tidak akan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyebabkan perpecahan. Salah kita sendiri jangan dituding kepada orang lain. Terbuktilah kini beliau gagal menjadi seorang pemimpin yang baik.

Saya ingin menasihati beliau, kini sudah tiba waktunya untuk beliau meluangkan masa bersama anak dan cucu kerana saat ini tidak dapat dinikmati ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu. Tak perlulah mengajar orang yang lebih tua dari kita.

Janganlah kita melawan orang yang lebih tua, kemudian hari buruk padahnya. – 5 Julai, 2018.

* Irwan Fahmi Ideris adalah mantan Ketua Wira Perkasa Malaysia 2010 - 2016.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen