PENGARAH filem warga Ukraine Oleg Sentsov, yang mogok lapar sejak lebih 50 hari lalu di penjara terpencil di Rusia, hilang berat badan sebanyak 15kg namun tidak merancang untuk menghentikan tindakan protes itu, kata sepupunya pada Khamis.
Pengarah anti-Kremlin dan penulis itu, 41, melancarkan mogok lapar pada 14 Mei lalu bagi menuntut Rusia membebaskan tahanan politik warga Ukraine.
Beliau dikenakan hukuman penjara 20 tahun atas dakwaan keganasan.
Beberapa hari sebelum Piala Dunia Rusia bermula bulan lepas, Presiden Vladimir Putin berkata rundingan dengan Ukraine berhubung pertukaran tahanan akan dijalankan. Ia meningkatkan harapan untuk melihat Sentsov dibebaskan semasa acara terbesar bola sepak itu.
Namun Moscow seperti tidak mahu membebaskan Sentsov walaupun kerajaan di barat dan selebriti menuntut pembebasan beliau.
Moscow juga melarang pegawai kanan Ukraine daripada mengunjungi beliau di penjara.
“Oleg, yang tingginya 190cm, kini mempunyai berat 75kg,” kata sepupunya Natalya Kaplan dalam siaran televisyen selepas melawat Sentsov, pertemuan pertama sejak 2014.
“Beliau hilang 15kg sejak memulakan mogok lapar,” katanya.– AFP, 5 Julai, 2018.
Komen