PENERBANGAN dari dan ke Washington, Amerika Syarikat mengalami penangguhan dan perubahan haluan petang semalam selepas sebuah menara kawalan udara terpaksa dikosongkan kerana asap, kata pihak berkuasa.
Lapangan TerbangBaltimore-Washington International (BWI) Thurgood, Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles dan Lapangan Terbang Reagan semuanya terjejas susulan kejadian di bandar Leesburg, Virginia itu.
“Pegawai kebakaran tempatan mengarahkan FAA untuk mengosongkan Pusat Washington di Leesburg, pada jam 6.40 petang selepas asap daripada tapak pembinaan berhampiran memasuki bilik kawalan,” kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan.
“Pusat itu mengawal penerbangan altitud tinggi di kawasan itu. Pusat itu menghentikan penerimaan penerbangaan baru dan menyerahkan penerbangan lain ke pusat kawalan udara lain untuk dikendalikan. Kami sedang berusaha untuk membersihkan pusat itu,” katanya.
Penangguhan dijangka berlaku sehingga malam ini. – AFP, 11 Julai, 2017.
Komen