Singapura guna teknologi canggih di Tambak Johor


SINGAPURA mula menggunapakai teknologi pengesan terbaru di sempadan yang dikongsi bersama Malaysia dalam usaha untuk mengetatkan keselamatan dan menghapuskan cubaan ramai orang untuk melepasi kawalan keselamatan negara itu yang sudah sedia ketat kini.

Teknologi pengesan muka, sistem yang boleh mengesan ancaman biologi dan mesin pengesan bahan letupan ialah antara mekanisma terbaru yang digunapakai di Tambak Johor-Singapura.

Sebuah sistem analisis video yang direka khas membantu “mengenal pasti pengguna yang disenarai hitam”, kata Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang K.Shanmugam seperti dipetik dalam akhbar harian The Straits Times.

“Kita berdepan kekurangan pegawai, dan kita juga berdepan dengan jumlah pelawat yang semakin meningkat, dan ramai orang mencari cara baru untuk melepasi pemeriksaan kita,” kata Shanmugam.

Sempadan darat antara Malaysia dan Singapura adalah yang tersibuk di dunia, dengan ratusan ribu orang menggunakannya setiap hari, dedahnya lagi.

Salah satu peralatan terbaru yang diletakkan di sempadan Singapura-Malaysia itu ialah sistem laluan yang membebaskan udara kepada pelawat yang melekat kepada pakaian dan badan manusia untuk mengesan kesan bahan letupan dan narkotik.

Sistem itu ialah hasil kerjasama antara Singapura dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat.

Pihak Berkuasa Kawalan Sempadan dan Imigresen Singapura baru-baru ini mendedahkan yang 50 juta kenderaan masuk ke Singapura dari Malaysia melalui kawalan sempadan di Woodlands pada 2012 dan 350,000 orang pelawat menggunakan laluan itu setiap hari. Dalam tempoh 2012 sehingga 2014, terdapat 26 kes cubaan untuk melepasi kawalan keselamatan imigresen. – 11 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen