KEBAKARAN yang melanda hutan di seluruh California, Amerika Syarikat semalam memaksa ratusan penduduk meninggalkan kediaman mereka di negeri terpadat Amerika Syarikat itu.
Di utara benua itu pula, daerah British Colombia, Kanada diletakkan dalam darurat ketika pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan yang berlaku di sana, diburukkan lagi dengan suhu tinggi dan angin kencang.
Kebakaran hutan terburuk di California berlaku San Luis Obispo County dikenali sebagai kebakaran Alamo yang setakat ini sudah membakar hampir 29,000 ekar (117 kilometer persedi) menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California.
Lebih daripada 1,200 anggota bomba dikerahkan memadamkan kebakaran itu, yang dijangka berterusan disebabkan cuaca panas dan kering yang berlanjutan beberapa hari lagi. Hanya 15 peratus kebakaran itu berjaya dikawal setakat ini.
Kebakaran di California itu juga memaksa pemindahan hampir 8,000 orang. Sementara itu, 10,000 lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka di British Colombia, Kanada apabila 200 kebakaran dilaporkan berlaku di sana.
Kebakaran di Alamo yang bermula empat hari lalu sudah merebak ke Santa Barbara dan merupakan kebakaran terbesar setakat ini.
Usaha mengawal kebakaran tertumpu kepada sekatan supaya api tidak merebak ke puncak bukit berhampiran yang menempatkan pelbagai infrastruktur penting seperti pencawang elektrik yang membekalkan tenaga ke bandar berhampiran, menurut akhbar Los Angeles Times.
Satu lagi kebakaran di Santa Barbara dikenali sebagai kebakaran Whittier pula mengancam ratusan rumah di Lembah Santa Ynez dan memaksa pemindahan hampir 150 kanak-kanak dan kaunselor yang berada di sebuah kem belia pada hujung minggu lepas, lapor pihak berkuasa.
Pesawat DC-10 digunakan untuk mengawal kebakaran itu yang sudah membakar lebih 10,800 ekar daripada terus merebak.
Kebakaran Whittier sudah memusnahkan 20 infrastruktur dan 150 kemudahan awam yang lain turut terancam.
Kebanyakkan kawasan di selatan California termasuklah bandar Los Angeles dilanda cuaca panas dengan suhu setinggi 43 darjah selsius.
Kebakaran hutan kerap berlaku di California dan barat Amerika sewaktu musim panas.
Di British Columbia pula, kerajaan tempatan mengisytiharkan darurat ketika ratusan anggota bomba bertarung memadamkan kebakaran yang berlaku di situ.
Beberapa perkampungan di tengah daerah itu sudah dikosongkan, menyebabkan lebih 10,000 penduduk dipindahkan.
Ramalan kaji cuaca menjangkakan hujan tidak akan turun di kawasan itu sehingga minggu depan. – AFP, 11 Julai, 2017.
Komen