Kubur tamadun Inca ditermui di utara Peru 


Ahli arkeologi Peru kini meneroka sebuah kubur besar, dipercayai milik tamadun Inca kuno, yang ditemui di utara wilayah pesisir Lambayeque.– Gambar AFP, 5 Julai, 2018.

AHLI arkeologi Peru kini meneroka sebuah kubur besar, dipercayai milik tamadun Inca kuno, yang ditemui di utara wilayah pesisir Lambayeque, lapor agensi berita China Xinhua.

Kira-kira 24 mayat yang telah dimumiakan ditemui dalam kubur itu bersama-sama persembahan pengebumian seperti seramik, bijirin dan jubah sulaman halus, kata Luis Villacorta, Timbalan Menteri Warisan Budaya dan Industri Kebudayaan Peru pada Rabu.

Kubur itu, yang ditemui di sebuah tapak arkeologi dikenali sebagai Tucume dan menempatkan sejumlah 26 piramid, akan membantu mengesahkan keluasan Empayar Inca.

Empayar itu berkembang di sepanjang bahagian barat Amerika Selatan antara abad ke-13 dan ke-16 di beberapa kawasan yang kini dikenali sebagai Ecuador, Peru, Bolivia, Chile serta beberapa negara lain.

“Susulan penemuan itu, kerja penyelidikan akan diteruskan dalam makmal di mana konservator tekstil dan pakar saintifik akan mula mentafsir data,” kata Villacorta, yang tiba di tapak itu pada Rabu untuk meninjau kerja-kerja penerokaan.

Ahli arkeologi Jose Manuel Escudero berkata satu daripada mumia yang ditemui mungkin merupakan seorang individu berpangkat tinggi, berdasarkan kualiti persembahan pengebumian yang ditemui bersama-sama jasadnya. – Bernama, 5 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen