SAYA membaca dengan tekun kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mengenai keadaan Malaysia hari ini. Apa sudah jadi dengan Malaysia?
Walaupun hakikatnya amat perit untuk diakui, namun terasa sedikit terhibur hati saya apabila hal yang saya sering perkatakan dan perjuangkan turut disuarakan seorang tokoh istana.
Saya secara peribadi menjunjung kasih dan merafakkan sembah tahniah di atas keberanian TMJ menyatakan kebenaran. Ini membayangkan keprihatinan beliau terhadap keadaan negara dan nasib bukan sahaja rakyat negeri Johor tetapi rakyat Malaysia seluruhnya.
Keluhan TMJ mengenai keadaan negara pernah disuarakan institusi Raja-raja Melayu sebelum ini. Selepas itu, TMJ sendiri menjadi antara tokoh istana yang lantang menegur pimpinan negara dan menyeru mereka melakukan perubahan segera untuk kebaikan rakyat jelata.
Namun teguran ini dipandang sepi pimpinan negara. Titah Raja-raja Melayu dan suara istana seperti tidak diendah kerajaan.
Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, Kerajaan sepatutnya menjalankan urusan negeri dan negara bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan sudah semestilah perlu memandang serius setiap pandangan dan teguran institusi raja.
Apa yang diluahkan TMJ bukan sahaja suara hati beliau, tetapi juga suara hari rakyat. Ramai yang saya temui bertanyakan soalan yang sama iaitu apa sudah jadi dengan Malaysia? Mereka termasuklah sahabat handai, kenalan dan orang ramai yang saya temui di Malaysia dan juga orang asing di luar negara.
Mereka cukup hairan bagaimana Malaysia yang amat dihormati dunia suatu ketika dahulu boleh berubah dengan sekelip mata menjadi bahan cemuhan masyarakat antarabangsa.
Saya diberitahu ada rakyat Malaysia yang pergi ke luar negara malu untuk mengaku mereka adalah rakyat negara ini kerana tidak sanggup dipandang sinis orang luar.
Berlainan sekali keadaannya sebelum ini apabila kita biasanya dengan bangga mengatakan kita adalah rakyat Malaysia dan rakyat asing dengan pantas memuji Malaysia.
Pokoknya, Malaysia hari ini bukan seperti dahulu lagi. Malaysia tidak lagi menjadi kebanggaan rakyat. Tidak lagi dihormati dunia.
Puncanya tidak lain kerana pimpinan negara terpalit dengan skandal rasuah, penipuan dan penyelewengan berada di tahap paling memalukan. Lebih menyedihkan, institusi negara yang sepatutnya berfungsi untuk mengawal kuasa eksekutif, memelihara hak rakyat dan menjamin keadilan gagal berfungsi sama sekali (totally dysfunctional).
Kita tidak dapat bayangkan seorang perdana menteri mempunyai wang berbilion ringgit di dalam akaun peribadinya dan ia adalah wang yang dicuri daripada syarikat milik negara.
Namun, peguam negara tidak mendakwa perdana menteri atas alasan beliau tidak mengetahui wang itu ada di dalam akaunnya. Sedangkan terdapat bukti yang jelas wang ini dibelanjakan untuk kegunaan peribadi.
Undang-undang apakah yang dirujuk peguam negara? Di manakah kedaulatan undang-undang? Sudah hilangkah keluhuran Perlembagaan?
Tidak hairanlah Malaysia berubah menjadi bahan lawak jenaka masyarakat antarabangsa dan dicemuh rakyat sendiri.
Lebih mendukacitakan kita, ketika rakyat berasa amat terbeban untuk membayar harga sekilo ikan kembung dan menanggung GST untuk barangan keperluan harian, isteri Malaysian Official 1 (MO1) dihadiahkan kalung berlian merah jambu berharga RM117 juta menggunakan wang yang dicuri daripada syarikat milik negara. MasyaAllah!
Dalam sejarah 40 tahun penglibatan saya dalam politik, saya tidak pernah menyaksikan perkara seperti ini berlaku. Mereka ini sudah tidak ada sekelumit rasa malu dengan perbuatan curang mereka terhadap rakyat dan negara. Seolahnya mereka boleh terlepas daripada hukuman undang-undang negara dan balasan Allah.
Itulah keadaan negara kita. Kedaulatan undang-undang tercalar. Institusi negara dirobek. Hak rakyat sedikit demi sedikit dirampas. Yang curang menjadi kaya-raya, yang lemah menanggung derita.
Masanya sudah tiba untuk kita melakukan perubahan dan reformasi institusi secara besar-besaran untuk memulihkan negara. Kuasa di tangan rakyat. Apatah lagi jika rakyat dipayungi institusi raja. Bak kata pepatah, rakyat dan raja berpisah tiada. Bangkitlah bersama selamatkan Malaysia! – 10 Julai, 2017.
* Muhyiddin Yassin ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen