Misteri kematian isteri, ahli Parlimen India dibenar ikat jamin


Shashi Tharoor berdepan pertuduhan bersubahat dalam kes kematian Sunanda Pushkar, 51, yang mayatnya ditemui di sebuah hotel lima bintang di Delhi pada 17 Jan 2014, dua hari selepas membuat pendedahan dalam media sosial bahawa menteri muda itu telah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wartawan wanita dari Pakistan.– Gambar AFP, 5 Julai, 2018.

Mahkamah di India esok akan memutuskan permohonan ikat jamin ke atas Ahli Parlimen India, Shashi Tharoor, yang disyaki terlibat dalam kematian misteri isterinya empat tahun lalu, lapor NDTV.

Tharoor hari ini memohon ikat jamin itu sebagai perlindungan mahkamah daripada ditahan berhubung dengan kes itu, namun dibantah oleh polis.

Kanun Keseksaan India membenarkan perintah ikat jamin dikeluarkan terhadap seseorang yang berdepan tangkapan atas pendakwaan melibatkan jenayah yang tidak boleh diikat jamin.

Isteri Tharoor, Sunanda Pushkar, 51, ditemui mati di sebuah bilik hotel di Gelhi pada 17 Januari 2014, dua hari selepas mendedahkan di media sosial suaminya ada hubungan sulit dengan seorang wartawan Pakistan.

Mahkamah bulan lalu memutuskan “ada alasan munasabah” untuk mendakwa Tharoor atas tuduhan bersubahat dalam bunuh diri.

Menurut penyiasat, mendiang cuba menghubungi suaminya melalui telefon dan kemudian melalui media sosial tetapi tidak dilayan.

Dalam salah satu emel mendiang kepada Tharoor, mendiang dikatakan mengaku “sudah tidak bersemangat untuk hidup” dan hanya mahu mati. Polis menjadikan beberapa kiriman e-mel dan mesej di media sosial itu sebagai kenyataan terakhir mangsa sebelum ditemui meninggal dunia.

Dalam kertas pertuduhan yang mencecah 3,000 halaman, pihak penyiasat menamakan Tharoor sebagai satu-satunya suspek.

Tharoor, bekas menteri, mendakwa tuduhan itu tidak berasas dan berniat jahat memburukkan nama baiknya.

Tharoor pernah berkhidmat sebagai setiausaha kedua kepada setiausaha agung Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York, antara Jun 2002 hingga Februari 2007.– 5 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen