Jepun dilanda hujan lebat,1 maut dan ribuan dipindahkan


Amaran tanah runtuh disebabkan hujan lebat juga dikeluarkan di seluruh Jepun termasuklah di Kyushu, Shikoku dan barat Honshu, tiga daripada empat kepulauan utama negara itu. – Gambar AFP, 5 Julai, 2018.

SEORANG pekerja pembinaan terbunuh di Jepun pada Khamis selepas dihanyutkan arus deras susulan hujan lebat yang mencetuskan amaran tanah runtuh dan arahan pemindahan untuk beratus orang dikeluarkan, kata pegawai.

Lelaki itu adalah salah seorang daripada tiga pekerja yang dihanyutkan banjir di kawasan Hyogo, barat Jepun. Dua lagi berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital, kata jurucakap polis tempatan kepada AFP.

Sebahagian besar Jepun dilanda hujan lebat sejak beberapa hari lepas, termasuklah kesan ribut yang melanda, amaran agensi kaji cuaca negara itu pada Khamis yang menjangkakan lebih banyak hujan dan ribut akan berlaku.

Dalam satu kenyataan ia menjangkakan “hujan lebat luar biasa boleh berterusan selama beberapa hari lagi boleh memecahkan rekod pernah dicatat.”

Ia juga memberikan amaran tanah runtuh disebabkan hujan lebat boleh berlaku di seluruh Jepun termasuklah di Kyushu, Shikoku dan barat Honshu, tiga daripada empat kepulauan utama negara itu.

Pihak berkuasa beberapa kawasan sudah mengarahkan penduduk berpindah termasuklah di kawasan tumpuan pelancong, Kyoto.

Arahan itu juga dikeluarkan di Osaka yang baharu sahaja dilanda gempa bumi bulan lepas yang mungkin mengubah struktur tanah meningkatkan kebarangkalian tanah runtuh berlaku. – AFP, 5 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen