Khairy, Najib yang patut berundur bukan Dr M, Anwar dan Kit Siang


 KENYATAAN Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta tiga tokoh utama politik tanahair Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang supaya berundur daripada politik adalah satu kenyataan tidak bertanggungjawab.

Khairy cuba menanam persepsi negatif kepada golongan muda iaitu perjuangan menentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa adalah agenda yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat. 

Perjuangan tiga tokoh pemimpin tersebut dalam menyelamatkan negara dan mempertahankan nasib rakyat tanpa mengenal erti lelah dan usia seharusnya disanjung tinggi generasi muda.

Cubaan beliau mempertahankan Perdana Menteri Najib Razak mengesahkan dakwaan salah laku jenayah yang diamalkan pentadbiran perdana menteri kerana menggunakan alasan perpecahan rakyat bagi mengalih isu sebenar.

Kegagalan Khairy selama ini untuk menentang salah laku rasuah dan penyelewengan pemerintah negara menunjukkan beliau tidak sensitif dengan tekanan hidup yang dialami golongan muda hari ini.

Kemelesetan ekonomi negara yang dikaitkan dengan kejatuhan nilai ringgit dan kesusahan hidup rakyat akibat kenaikan kos sara hidup, harga barang, GST dan peluang pekerjaan yang semakin menyusut berpunca daripada kelemahan pemerintah negara yang terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan terutamanya skandal berskala mega 1MDB. 

Apakah kadar inflasi negara yang meningkat kepada 5.1% dan beban hutang negara yang mencecah RM900 billion bukan satu gambaran keadaan ekonomi yang meruncing?

Khairy seharusnya meminta perdana menteri meletakkan jawatan dan berundur daripada politik agar segala dakwaan salah laku jenayah korupsi, pecah amanah dan pengubahan wang haram disiasat secara telus dan didakwa di mahkamah undang-undang. 

Gaya kepimpinan kleptokrasi yang diamalkan perdana menteri bukanlah suatu contoh teladan yang baik untuk generasi muda negara.

Penindasan terhadap rakyat kian ketara kerana bukan sahaja wang rakyat dirompak, malah kesenjangan ekonomi di kalangan rakyat semakin melebar - yang kaya bertambah mewah dan yang miskin semakin susah.

Rakyat yang menyokong demokrasi terus ditekan manakala yang menyokong kleptokrasi pula terus diberikan dedak. Ini terbukti dengan kenyataan perdana menteri hanya peneroka Felda yang menyokong kerajaan sahaja akan diberikan bonus.

Terbukti juga kehidupan rakyat di negara lain yang kadar rasuahnya tinggi hidup dalam keadaan huru-hara dan kemiskinan. 

Jadi, isu korupsi dan salah guna kuasa ini jika tidak diselesaikan segera dan bukannya pada 2050 akan membawa negara kepada kemiskinan dan “failed state”, dan ini akan mengancam perpaduan rakyat.

Sikap membisu Khairy terhadap salah laku jenayah perdana menteri dalam skandal 1MDB amat menghairankan. 

Mustahil beliau tidak mengetahui siasatan antarabangsa terhadap skandal 1MDB ini, dimana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengambil tindakan saman dan pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan hukuman ke atas bank dan pegawai yang terlibat dalam skalndal ini.

Justeru, Khairy seharusnya bersuara bagi pihak anak muda negara demi masa depan generasi akan datang supaya segala kepincangan yang berlaku dalam negara hari ini dapat dirawat.
  
Generasi muda ini seharusnya mewarisi kekayaan dan kemakmuran negara, bukannya beban hutang dan kehancuran. Ketelusan dan integriti dalam politik yang patut dipertahankan Khairy, bukannya perasuah dan perompak. – 10 Julai, 2017.

* Faiz Fadzil ialah Timbalan Ketua Pemuda Amanah.

* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen