Pertahankan hak kanak-kanak tanpa diskriminasi


BARU-baru ini, negara Malaysia dikejutkan sekali lagi dengan satu insiden dimana seorang lelaki berumur 41 tahun dikatakan telah mengahwini seorang budak perempuan yang berumur 11 tahun.

Perkahwinan tersebut dipercayai berlaku di Thailand namun, samada ia berlaku di depan seorang majistret Mahkamah Syariah atau tidak masih belum disahkan. Dan jika ya, sama ada ianya berlaku dengan satu keputusan bertulis atau tidak.

Apa-apa pun, adalah tanggungjawab pihak ibu bapa dan kerajaan untuk melindungi hak kanak-kanak perempuan dan lelaki untuk memastikan bahawa suara mereka didengari dan dinaungi.

Perkahwinan kanak-kanak di Malaysia bukanlah perkara baru dan setakat ini lebih berpuluh ribu kanak-kanak yang beragama Islam dan bukan Islam menjadi mangsa perkahwinan kanak-kanak, langsung menjejaskan masa depan mereka.

Walaupun wujud undang-undang sivil dan syariah yang sedia ada, namun ada pelbagai kelemahan perundangan yang membenarkan si pemangsa memanipulasinya mengikut nafsu terpesongnya dengan mengahwini seorang kanak-kanak.

Malaysia patut mencontohi negara-negara Islam lain yang telah membuat keputusan bersejarah di mana perkahwinan kanak-kanak dibawah 18 tahun tidak dibenarkan sama sekali tanpa apa-apa pengecualian.

Mesir, Algeria dan Jordan telah menggubal undang-undang mereka dengan menetapkan 18 sebagai umur minima untuk berkahwin.

Di Republik Afrika Tengah, Perkara 194 dalam undang-undang Civil Code (1988) menyatakan perbuatan memaksa kanak-kanak untuk berkahwin adalah satu jenayah dan Perkara 195 memperuntukkan hukuman yang lebih berat sekiranya yang memaksa adalah ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut.

Ethiopia juga menjenayahkan perkahwinan kanak-kanak bawah 18 tahun dengan hukuman penjara sehingga 7 tahun bergantung kepada umur kanak-kanak tersebut.

Jelas di sini adalah keperluan satu rangka kerja yang berdasarkan perundangan dengan meletakkan kepentingan kenak-kanak diatas segalanya yang mempunyai impak yang tinggi terhadap pembangunan insaniah kanak-kanak.

Kerajaan harus meletakkan umur 18 sebagai umur sah, tidak kira untuk lelaki atau perempuan, tanpa mengira etnik atau agama tanpa apa-apa pengecualian atau kebenaran daripada ibubapa serta mahkamah atau ketua kerajaan dalam memutuskan jika seorang kanak-kanak layak untuk mendirikan rumahtangga atau tidak. 

Kedua, untuk mengenal pasti perkahwinan kanak-kanak itu sebagai satu jenayah yang mempunyai impak dan implikasi terhadap masa depan kanak-kanak.

Girls Not Brides satu rakan kongsi antarabangsa yang dianggotai lebih 900 NGO dan 95 negara yang komited untuk mengakhiri perkahwinan kanak-kanak dan untuk menonjolkan dan membolehkan kanak-kanak perempuan terutamanya untuk mencapai potensi mereka.

Girls Not Brides juga mencadangkan supaya mana-mana kerajaan yang ingin memerangi perkahwinan kanak-kanak agar menubuhkan mahkamah kanak-kanak dan unit polis bagi keselamatan kanak-kanak, serta kordinasi antara institusi hak asasi manusia seperti Suhakam, penubuhan Ombudsman untuk perlindungan kanak-kanak, penubuhan satu Suruhanjaya Kebangsaan Kanak-kanak yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan hak kanak-kanak dibela dan dipelihara dengan efektif.

Perkahwinan kanak-kanak di Malaysia merentasi agama, latar belakang etnik, gender, umur serta latar belakang ekonomi walaupun kelaziman perkahwinan kanak-kanak di luar bandar lebih tinggi daripada kawasan bandar. Ini adalah masa yang tepat untuk menggubal dasar dan undang-undang untuk mengakhiri perkahwinan kanak-kanak.

Garis panduan hanyalah satu panduan dan bukan bersifat mengikat pemangsa yang mahu berkahwin dengan seorang kanak-kanak.

Hanya lunas undang-undang dan sistem sokongan NGO serta penyertaan masyarakat sejagat yang menetapkan apa itu salah atau sah di sisi undang-undang. Pada masa yang sama, perkahwinan kanak-kanak mesti dikelaskan sebagai jenayahkan demi menjamin, memelihara serta melindungi hak kanak-kanak demi masa depan yang cerah untuk golongan yang tidak dapat bersuara ini.

Adalah menjadi tanggungjawab moral kerajaan untuk tidak menjadi aksesori dan menyumbang kepada hakisan hak asasi kanak-kanak. Kedudukan anak-kanak perlu dimartabatkan daripada pengantin kepada kedudukan mereka sebagai generasi kanak-kanak perempuan dan lelaki yang akan menyuburkan tanahair kita ini dengan mencapai potensi penuh mereka. – 5 Julai, 2018.

* Kasthuri Patto adalah ahli Parlimen Batu Kawan merangkap setiausaha publisiti Wanita DAP.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen