PRESIDEN Iran, Hassan Rouhani, yang dalam rangka lawatan ke Austria berkata, tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian nuklear, tidak memberi manfaat kepada mana-mana negara, lapor agensi berita Xinhua.
“Keputusan itu tidak akan memberi manfaat kepada AS atau mana-mana negara,” katanya pada sidang akhbar, sambil menambah Tehran lebih memilih untuk terus kekal dalam perjanjian dan memenuhi kewajibannya.
Presiden Iran itu berada di Vienna pada Rabu dalam siri lawatannya ke Eropah dan turut melawat Switzerland.
Pada pertemuan Canselor Austria, Sebastian Kurz di Vienna, Rouhani turut membincangkan isu-isu lain di Timur Tengah.
Memandangkan AS akan kembali mengenakan sekatan ke atas Iran, Rouhani berusaha mendapatkan sokongan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) untuk menjaga kepentingan Tehran di bawah perjanjian nuklear atau Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).
Perjanjian nuklear itu ditandatangani Iran dengan AS, Britain, Perancis, Rusia, China dan Jerman pada tahun 2015 untuk menghentikan program senjata nuklear sebagai pertukaran kepada pembatalan sekatan.
Pada 8 Mei, Presiden AS Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear dan berikrar mengenakan semula sekatan ke atas Iran, kerana mendakwa perjanjian itu gagal mencegah negara tersebut meluaskan program senjata nuklearnya.
Tindakan AS menerima kritikan secara meluas, beberapa sekutu utama di Eropah cuba menghalang kesepakatan yang dicapai pada 2015 itu daripada terhapus. – 5 Julai, 2018.
Komen