UTUSAN khas Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikrar akan bekerjasama dengan Khartoum dalam usahanya untuk keluar dari senarai hitam “pengganas” Washington dan menyambut baik keputusan negara Afrika itu untuk memutuskan hubungan dnegan Korea Utara.
Pada Jun, Sudan mengumumkan bahawa firma-firma pertahanannya telah membatalkan kontrak bersama Korea Utara, mengakui buat pertama kalinya mengenai kewujudan perjanjian dengan negara itu.
Washington meningkatkan tekanan terhadap Sudan beberapa bulan kebelakangan ini bagi menyekat hubungan negara Afrika itu dengan Pyongyang, meskipun Khartoum tidak mempunyai hubungan diplomatik secara rasmi dengan Pyongyang.
“Korea Utara menjadi keutamaan dalam keselamatan AS,” kata Charge D’Affaires AS, Steven Koutsis dalam ucapannya sempena sambutan kemerdekaan AS di kedutaan negara itu di Sudan.
“Atas sebab ini, kami mahu menekankan penghargaan kami terhadap tindakan yang diambil oleh Sudan dan semua sekutu dann rakan kami di seluruh dunia yang menyokong tekanan diplomatik dan ekonomi ke atas rejim Korea Utara.”
AS menarik semuala sekatan perdagangan yang dikenakan terhadap Sudan sejak berdekad lamanya pada Oktober, namun mengekalkan Khartoum dalam senarai “penaja keganasan” bersama-sama Iran, Syria dan Korea Utara.
Pihak berkuasa Sudan berkata senarai hitam Washington itu menyebabkan bank-bank antarabangsa berhati-hati menjalankan perniagaan di negara itu dan menghalang pertumbuhan ekonominya.
Sudan mengalami peningkatan inflasi, kadar hutang luar negara melebihi AS$50 bilion dan hilang pendapatan sejak perpisahan bahagian selatan dan utara pada 2011. – AFP, 5 Julai, 2018.
Komen