Seorang maut, lori tangki terbakar di Bintulu


Desmond Davidson

Lima kenderaan turut disambar api dalam kejadian lori tangki terbakar di depan Pusat Perubatan Bintulu di Jalan Kidurong. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Julai, 2017.

SEBUAH lori tangki yang membawa muatan petrol RON95 meletup dan terbakar di satu persimpangan jalan yang sibuk di bandar Bintulu, Sarawak tengah hari tadi menyebabkan seorang maut dan mencederakan beberapa yang lain, kata jabatan bomba Bintulu.

Lima kenderaan turut ditelan api dalam kejadian di depan Pusat Perubatan Bintulu di Jalan Kidurong.

Ketua Polis Bintulu Zailanni Amit berkata lori tangki itu, dari arah terminal gas dan minyak di Tanjung Kidurong menuju ke Tanjung Batu, sebelum terlanggar pembahagi jalan yang menyebabkan lori itu terbalik.

Zailanni berkata berlaku letupan serta-merta dan diesel melimpah dan terbakar di kawasan jalan itu sebelum menyambar kenderaan lain yang sedang berhenti di sebelah dan belakang lori itu.

Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat masih belum dapat mengenal pasti mangsa tetapi saksi berkata mangsa mungkin seorang penunggang motosikal yang berhenti di sebelah lori tangki itu.

Mayatnya yang dikatakan rentung dikeluarkan oleh anggota bomba daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Bilik operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah berkata 10 anggota dikerah ke tempat kejadian dan masih cuba memadamkan kebakaran. – 10 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen