MARIO Sepulveda, seorang daripada pelombong Chile yang terperangkap di bawah tanah selama 69 hari pada 2010, memberi mesej perangsang pada Rabu kepada pasukan bola sepak yang terperangkap di sebuah gua di Thailand.
Dalam rakaman video yang dihantar kepada AFP, Sepulveda - dikenali sebagai “Super Mario” kerana membantu memberi semangat kepada semua rakannya sepanjang ujian mereka - berkata ingatannya bersama 12 kanak-kanak dan jurulatih mereka, sehingga dia berusaha ke Thailand untuk membantu.
Misi menyelamatkan pasukan bola sepak dari gua yang dilanda banjir membangkitkan kembali kenangan kejadian terperangkap di lombong Chile lapan tahun lalu.
Ketika itu, seluruh kagum terhadap Sepulveda dan 32 lain yang masih hidup selepas hampir 10 minggu terperangkap di bawah tanah sebelum akhirnya diselamatkan seorang demi seorang.
Berpakaian baju berwarna kuning, topi pelombong berwarna oren dan dengan lampu di kepala, Sepulveda memberi mesej ringkas tetapi bersemangat kepada ahli pasukan bola sepak Wild Boar dalam video berdurasi 40 saat.
“Mucha fuerza!” katanya, yang jika diterjemahkan secara ringkas membawa maksud “bertahan”.
Dia berkata cuba mengumpul dana untuk ke Thailand dan membantu usaha menyelamat.
“Saya akan melihat segala apa yang boleh. Saya menghubungi seseorang dari kerajaan Chile untuk mendapatkan wang. Saya rasa penting sebagai sebuah negara bagi kita untuk berada di sana, selepas apa yang kami sebagai pelombong pernah lalui,” katanya semasa lawatan ke Mexico City.
“Saya ingin ke sana. Saya rasa sangat penting untuk memberi sokongan kepada keluarga, memeluk mereka. Kata-kata galakan sangat penting.”
Kumpulan 12 pelajar dan jurulatih bola sepak itu terperangkap selepas mereka pergi ke gua berkenaan sesudah habis latihan pada 23 Jun lepas.
Usaha menyelamat ini turut melibatkan pakar penyelam antarabangsa. – AFP, 5 Julai, 2018.
Komen