TENTERA Rusia membunuh anak pemimpin kumpulan militan Islamic State (IS), Abu Bakr al-Baghdadi dalam serangan peluru berpandu di sebuah gua Syria yang menjadi tempat persembunyiannya, kata perisikan Iraq pada Rabu.
Saluran propaganda IS, Amaq berkata Hudhayfah al-Badri terbunuh dalam satu “operasi terhadap Nussayriyyah dan Rusia di stesen janakuasa terma di Homs”, dalam kenyataan yang diterbitkan pada Selasa bersama gambar seorang lelaki muda memegang senapang.
Nussayriyyah adalah istilah yang digunakan oleh IS terhadap kumpulan minoriti agama Alawite, Presiden Syria Bashar al-Assad.
Risikan Falcon, Iraq mengatakan pasukan Rusia pada Isnin melancarkan tiga peluru berpandu di sebuah gua di Homs yang menjadi lokasi 30 “pemimpin pengganas” dan beberapa pengawal Badri.
Ia berkata 11 orang terbunuh dalam serangan itu.
“Badri bukan seorang pejuang ... dia adalah ikon yang dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain sebagai satu propoganda psikologi untuk seluruh organisasi,” kata Falcons pada Rabu.
Kerajaan Iraq mengisytiharkan kemenangan terhadap IS pada Disember, tetapi tentera meneruskan operasi secara berkala yang menyasarkan kebanyakan kawasan padang pasir di sepanjang sempadan Syria.
Pemimpin kumpulan Baghdadi, yang beberapa kali diumumkan terkorban, masih hidup di wilayah Syria bersempadan dengan Iraq, kata pegawai perisikan Iraq pada Mei.
Berasal dari Iraq, Baghdadi menerima julukan “individu paling dikehendaki di planet ini” dan Amerika Syarikat menawarkan ganjaran AS$25 juta bagi penangkapannya.
Pada 22 Jun, Badri terselamat daripada serangan udara tentera Iraq yang membunuh dua pengawalnya, termasuk Saud Mohammed al-Kurdi, yang juga dikenali sebagai Abu Abdallah, yang berkahwin dengan anak perempuan Baghdadi, Duaa. – AFP, 5 Julai, 2018.
Komen