Ribuan pendatang Myanmar tinggalkan Thailand


Ribuan pekerja Myanmar di Thailand bergegas menuju ke sempadan untuk keluar daripada negara itu selepas penguatkuasaan undang-undang baharu. – Gambar EPA, 10 Julai, 2017.

DENGAN hanya membawa barangan dalam beg kecil, puluhan ribu pendatang Myanmar bergegas ke sempadan Thailand sejak dua minggu lalu.

Pendatang terbabit melarikan diri dari negara itu sejak ia menguatkuasakan undang-undang yang mengenakan penalti lebih berat terhadap pekerja asing tanpa dokumen.

Penguatkuasaan Thailand secara mengejut itu mengenakan denda lebih tinggi terhadap pekerja tanpa dokumen serta majikan menyebabkan panik dalam kalangan komuniti pendatang.

“Sekiranya kita ditangkap, kita perlu membayar wang kepada polis, jika ini berlaku, semua wang kita akan hilang,” kata Thu Ya, yang bekerja di sebuah kilang plastik Thai dan bersedia untuk ke bandar sempadan timur Myanmar, Myawaddy.

Penghijrahan besar-besaran migran – dianggarkan lebih 60,000 – hanya menimbulkan kekecohan menyebabkan kehidupan tidak menentu pekerja migran yang kebanyakannya bekerja di kilang dan bot nelayan Thailand.

Mereka tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah, hidup dalam ketakutan akibat eksploitasi daripada polis, majikan dan juga ejen pencari kerja.

Namun kebanyakan pendatang itu berkata kesulitan dihadapi itu tidak seteruk kemiskinan di tanah air mereka di mana pekerjaan dengan pendapatan yang baik sukar diperoleh.

“Saya akan mempertimbangkan kembali dengan cara yang sah, dengan dokumen penuh,” kata Thu Ya, 32, yang menghabiskan banyak hidupnya di Thailand.

Kerajaan baru Myanmar, yang mengambil alih kuasa pada tahun lepas, dijangka akan membawa masuk pelaburan asing ke negara itu.

Dalam lawatan ke Thailand pada Jun 2016, pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi bersumpah untuk memacu pertumbuhan ekonomi di negaranya.

Namun selepas setahun berlalu, Myanmar masih jauh dari taraf pendapatan yang ditawarkan di Thailand. – AFP, 10 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen