SPRM panggil Riza Aziz lagi esok


Muzliza Mustafa

Riza Aziz akan dipanggil ke ibu pejabat SPRM lagi esok bagi membantu siasatan skandal 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Julai, 2018.

RIZA Aziz akan hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lagi esok, buat kali ketiga berturut-turut.

Anak tiri Najib itu kini disoal siasat SPRM berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas didakwa menghasilkan filem-filem Hollywood menggunakan wang dana negara itu.

Riza, 48, disoal siasat selama 9 jam semalam, diikuti enam jam hari ini.

Namun, itu masih belum cukup.

Sumber SPRM memberitahu Riza akan dipanggil sehingga Jumaat sekiranya diperlukan.

“Ya, SPRM akan merekod keterangannya lagi esok. Akan bersambung (hingga Jumaat) jika perlu,” kata sumber berkenaan.

Riza meninggalkan ibu pejabat SPRM menaiki Audi Hitam bersama dua orang peguamnya pada 9 malam ini.

Beliau merupakan penerbit filem dan pengasas bersama syarikat penerbitan filem Hollywood, Red Granite Pictures dituduh menggunakan berjuta ringgit dari dana 1MDB untuk menghasilkan filem-filem Hollywood.

Difahamkan, SPRM mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai hubunganya dengan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Riza mendiamkan diri sejak namanya dikaitkan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) dalam siasatan ke atas 1MDB.

Pada Mac, penerbit-penerbit filem “the Wolf of Wall Street” telah bersetuju untuk membayar semula AS$60 juta (RM242.4 juta) kepada kerajaan AS selepas filem itu didakwa dibiayai oleh wang yang dicuri dari dana 1MDB.

Mac tahun ini juga, CNN melaporkan bahawa Red Granite Pictures yang turut menghasilkan filem komedi berbajet besar “Daddy’s Home” dan “Dumb and Dumber To”, diminta supaya membayar wang itu secara tiga kali ansuran selama 12 bulan (mulai Mac), menurut dokumen yang difailkan dengan mahkamah daerah AS di California.

Red Grabite dituduh menerima AS$64 juta (RM268 juta) sebagai sebahagian daripada AS238 juta (RM961 juta) yang didakwa dicuri dari 1MDB. DoJ percaya wang tersebut dipindahkan ke akaun yang dikawal oleh Riza.

Anak tiri Najib itu dituduh mengguna wang dana 1MDB bagi membeli aset mewah dari Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan juga poster-poster filem.

DoJ juga mendakwa Riza mendakwa AS$94 juta (RM380 juta) yang diterimanya adalah merupakan “hadiah”.

Secara keseluruhan, DoJ sedang cuba merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa dibeli menggunakan wang 1MDB.

Siasatan 1MDB di Malaysia dibuka semula sebagai sebahagian daripada menifesto 11 hari kerajaan Pakatan Harapan.

Kerajaan baharu yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad telah berjanji akan membuka semula dan menyiasat kes-kes seperti pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, skandal 1MDB dan kes lain yang berkaitan dengan Najib.

Awal hari ini, Najib didakwa atas tiga pertuduhan melakukan jenayah pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen