RAKYAT Colombia telah digesa untuk bertenang selepas dua pemainnya, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika perlawanan menentang England, berdepan ugutan bunuh daripada peminat yang marah di media sosial.
Mesej dahsyat dan berbisa menyasarkan Mateus Uribe dan Carlos Bacca mula muncul dalam tempoh beberapa minit selepas Colombia tersingkir daripada kejohanan Piala Dunia susulan aksi penentuan sepakan penalti yang penuh dramatik, lapor Agensi Maklumat Macedonia (MIA) memetik akhbar the Mirror.
Tendangan penalti Uribe terkena palang gol manakala percubaan Bacca telah berjaya diselamatkan oleh penjaga gol England, Pickford, yang kemudian diangkat sebagai hero.
Kebanyakannya menyasarkan Bacca, yang disifatkan peminat sebagai pemain yang paling teruk pernah mengambil sepakan penalti selain turut dikatakan beraksi buruk ketika perlawanan, hantaran-hantaran itu telah memberi amaran kepada pemain terbabit bahawa mereka akan “mati,” dan menggesa kedua-duanya membunuh diri serta tidak pulang ke negara Amerika Selatan itu.
Mesej menakutkan itu dihantar meskipun satu siasatan polis sedang dijalankan berhubung ugutan bunuh lebih awal yang dibuat terhadap seorang lagi pemain Colombia, Carlos Sanchez, selepas beliau dibuang padang tiga minit selepas perlawanan pembukaan Piala Dunia ketika pasukan negara tersebut menentang Jepun. – Bernama, 4 Julai, 2018.
Komen