SEORANG pakar gua Britain dan seorang pengusaha ekopelancongan Vietnam kini dalam perjalanan ke wilayah Chiang Rai pada Rabu untuk menawarkan bantuan mereka kepada sekumpulan remaja lelaki yang terperangkap dalam sebuah gua selama sembilan hari, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Kedua-duanya, Howard Limbert, yang telah menghabiskan 30 tahun hidupnya di wilayah tengah Quang Binh, Vietnam dan Nguyen Chau, pengarah syarikat ekopelancongan Oxalis, ingin menawarkan kepakaran mereka kepada para penyelamat.
Sekumpulan penyelamat, termasuk anggota Tentera Diraja Thailand dan dari sekurang-kurangnya enam negara seperti Britain, Amerika Syarikat dan China, menemui remaja terbabit pada malam Isnin.
Kesemua 12 remaja lelaki berusia lingkungan 11 hingga 16 tahun dan jurulatih mereka berusia 25 tahun ditemui di kawasan tanah lebih tinggi kira-kira 400 meter dari lokasi pertama yang diramal di dalam gua Tham Luang.
“Mereka bernasib baik gua itu panas kerana jika mereka berada dalam gua-gua di bahagian lain dunia, sudah pasti sukar untuk bertahan lama,” kata Limbert kepada Vietnam News dalam satu temu bual eksklusif menerusi e-mel.
Limbert telah menemui Son Doong, yang merupakan gua terbesar di dunia, dalam wilayah Quang Binh pada 2006.
Pakar gua itu telah memuji rakan sejawatnya dari Britain, John Volanthen dan Rick Stanton, kerana melakukan tugasan mereka dengan baik.
“Penyelam gua Britain adalah yang terbaik di dunia dan jika mereka gagal menemui menemui mereka, tiada siapa yang mampu berbuat demikian. Pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan yang betul dengan meminta bantuan penyelam gua Britain.”
Limbert yakin “remaja terbabit akan pulih apabila mereka kembali bersatu dengan keluarga masing-masing” namun memberi amaran berhubung kesukaran untuk melakukan penyelamatan penuh.
“Berita baiknya ialah mereka telah menemui remaja lelaki terbabit dalam keadaan selamat namun masih terdapat kesulitan pada tempoh seterusnya,” katanya, namun enggan mengulas lanjut sehingga butiran lebih terperinci diketahui.
Gabenor wilayah Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn, memaklumkan pemberita pada Selasa bahawa ia mungkin mengambil masa untuk mengeluarkan remaja terbabit serta jurulatih mereka kerana mereka keletihan dan gua itu terletak dalam kawasan air yang amat dalam.
“Mereka semua selamat tetapi misi menyelamat masih belum dapat diselesaikan dan masih terdapat cabaran untuk membawa mereka keluar dari dalam gua yang dipenuhi air di daerah Mae Sai.”
Narongsak berkata proses evakuasi akan memakan masa selama beberapa hari dan kaedah terbaik untuk melakukannya sedang dipertimbang.
Sementara itu, usaha untuk mengakses gua tersebut seperti menggali menerusi bumbungnya dan mencari laluan alternatif serta mengeringkan air, akan diteruskan.
Terletak di Taman Hutan Khun Nam Nang Non, gua Tham Luang merupakan satu destinasi ekopelancongan di Thailand.
Ia sering ditutup semasa musim hujan dari Julai hingga Disember. – Bernama, 4 Julai, 2018.
Komen