Malaysia hantar pulang 8 warga Thai suspek ‘Macau scam’


PIHAK berkuasa Malaysia menghantar pulang lapan rakyat Thailand, yang ditangkap dalam satu serbuan “Macau Scam” yang didalangi seorang rakyat Taiwan, di Pulau Pinang bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Pelancong Mejar Jeneral Surachet Hakpal berkata, kelapan-lapan suspek yang belum diketahui jantinanya, tiba di Bangkok semalam dan akan berhadapan dengan pelbagai tuduhan berhubung penipuan awam, konspirasi dan jenayah antarabangsa yang terancang.

“Kami (polis Thailand) memohon kepada pihak berkuasa Malaysia bagi menghantar pulang kelapan-lapan mereka agar mereka boleh didakwa di Thailand,” katanya di Bangkok, menambah jika didapati bersalah mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun.

Pada 5 Jun lepas, polis Malaysia dan Thailand mengadakan serbuan bersama di sebuah banglo di kawasan bukit di Pulau Pinang dan memberkas 10 rakyat Thailand dan dua lelaki Taiwan, yang pihak berkuasa percaya perancang utama “Macau Scam”.

Sepuluh rakyat Thailand yang disyaki itu terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita dari daerah Songkla dan Sukhothai.

Sindiket yang diketuai rakyat Taiwan itu mengubah banglo dua tingkat di Pulau Pinang sebagai pangkalan aktiviti penipuan. Serbuan bersama itu juga merampas peralatan komunikasi, telefon pindah alih dan buku akaun yang digunakan oleh sindiket berkenaan.

Menurut Surachet, yang mengetuai pasukan polis Thailand dalam penipuan elektronik, serbuan bulan lepas di pulau itu adalah kejayaan kali ketiga dalam serbuan bersama di Malaysia, selepas kejayaan operasi seumpama pada Januari dan Februari lepas.

Daripada tiga serbuan bersama di Malaysia, seramai 33 suspek dari Taiwan, Thailand dan Malaysia diberkas.

Beliau berkata pihak berkuasa Thailand memulangkan 23.6 juta baht (kira-kira RM2.8 juta) kepada 117 mangsa “Macau Scam” daripada 455 kes berhubung jenayah berkenaan dari Disember tahun lepas sehingga Julai 2018.

Polis Thailand menganggarkan kerugian yang dialami oleh mangsa dari Thailand daripada komplot itu bagi tempoh yang sama ialah 249.13 juta baht (RM31 juta). – Bernama, 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen