.jpg)
MALAYSIA telah mencatat sejarah dalam arena politik tanah air dengan pelantikan menteri kerajaan pusat yang termuda iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai menteri belia dan sukan pada usia 26 tahun.
Kami ingin mengucapkan tahniah dan takziah kepada mereka yang telah diberikan kepercayaan dan amanah untuk menggalas tanggungjawab dalam mencorak Malaysia Baharu ke arah yang lebih baik.
Sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita sering diberitahu bahawa PRU14 adalah milik anak muda. Anak mudalah yang akan mencorakkan masa depan dan maruah negara. Pakatan Harapan (PH) sentiasa mengutamakan kebajikan dan suara anak muda melihat kepada kekuatan dan semangat anak muda serta menyedari kepimpinan anak muda perlu diberi ruang seluasnya demi memacu Malaysia Baharu yang lebih cemerlang.
Kini, seorang anak muda sudah diangkat sebagai menteri yang ditugaskan untuk memperkasakan anak muda. Tiada lagi alasan untuk kita sebagai anak muda dan mahasiswa untuk tidak bersama dalam membentuk Malaysia Baharu ini dengan tenaga dan kapasiti yang kita ada.
Sudah tiba masa untuk kita buktikan bahawa anak muda kini tidak malas dan tidak kompetitif, bukannya seperti tin kosong yang tiada isi di dalamnya, hanya tahu bising dan bercakap sahaja.
Dalam era globalisasi ini, anak muda perlu bekerja dengan lebih keras dalam membentuk sebuah masyarakat yang lebih dinamik dan progresif serta negara yang dipandang tinggi oleh seluruh dunia.
Anak muda juga harus bertindak sebagai “check and balance” yang efektif dalam memastikan kerajaan pada hari ini benar-benar bekerja untuk rakyat, bukan untuk jawatan dan kepentingan politik semata.
Dunia telah menyaksikan revolusi dunia berlaku oleh kuasa anak muda yang besar dan PRU14 jua telah menjadi saksi bahawa peranan anak muda begitu signifikan dalam sistem demokrasi negara.
Sekali lagi, Mahasiswa Keadilan Malaysia mengucapkan tahniah kepada mereka yang dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Persekutuan pada semalam. Harapan agar dengan barisan kepimpinan ini mampu menterjemah dengan sokongan anak muda dan rakyat Malaysia dalam membentuk Malaysia ke arah yang lebih maju. – 4 Julai, 2018.
* Haissazc Shuqkin Hisham dari Mahasiswa Keadilan Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen