Gabenor Aceh disiasat rasuah RM2.25 juta


Gabenor Aceh Irwandi Yusof ditahan malam semalam bersama Datuk Bandar Bener Meriah Ahmadi dan lapan individu lain yang disyaki ada kaitan dengan kes rasuah RM2.25 juta. – Gambar AFP, 4 Julai, 2018.

AGENSI anti rasuah Indonesia menetapkan Gabenor Aceh Irwandi Yusof sebagai suspek dakwaan rasuah RM2.25 juta (Rp 8 trilion) melibatkan dana autonomi khusus untuk wilayah itu, lapor The Jakarta Post.

“Pasukan kami sedang menjalankan siasatan yang mendalam ke atas wang sebanyak Rp500 juta (RM140,900) yang dirampas,” kata jurucakap suruhanjaya pencegahan rasuah Indonesia, Febri Diansyah.

Wang itu dikatakan ada kaitan dengan dana autonomi Aceh 2018, lapor The Jakarta Post.

Agensi anti rasuah itu bagaimanapun tidak mengeluarkan kenyataan lanjut.

Irwandi ditahan malam semalam bersama Datuk Bandar Bener Meriah Ahmadi dan lapan individu lain yang disyaki ada kaitan dengan kes.

Dua pemimpin daerah itu kemudian diterbangkan ke Jakarta untuk pemeriksaan lanjut.

Irwandi, bekas pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM), adalah gabenor Aceh kedua yang dikaitkan dengan rasuah. Pada 2004, bekas gabenor Abdullah Puteh dihukum penjara 10 tahun kerana rasuah terkait pembelian sebuah helikopter. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen