PASUKAN penyelamat Thailand cuba “untuk tidak mengambil risiko” dalam usaha mengeluarkan 12 budak dan jurulatih bolasepak mereka yang terperangkap dalam sebuah gua yang dinaiki air, lapor AFP.
Sebuah klip video terbaru hari ini menunjukkan semua mereka berada dalam keadaaan yang bersemangat selepas usaha mencari dan menyelamat berjaya mengesan mereka yang hilang sejak sembilan hari.
Usaha mengeluarkan mereka dari kawasan gua yang ditenggelami air itu dijangka akan melibatkan proses yang panjang kerana sebahagian besar daripada 12 budak lelaki itu tidak boleh menyelam dan tidak pandai berenang.
Kerja-kerja menyelamat itu juga berkejar dengan masa ketika musim hujan mula tiba.
Pihak berkuasa Thailand sebelum ini menegaskan 12 budak dan jurulatih mereka itu akan hanya diselamatkan sekiranya keselamatan mereka terjamin.
“Kita perlu yakin 100 peratus tidak ada risiko kepada mereka sebelum kita mulakan kerja-kerja mengeluarkan mereka,” kata Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn.
“Kita akan jaga mereka seperti anak sendiri.”
Usaha memasang talian telefon gagal semalam namun kerja-kerja menyalurkan bantuan makanan, ubat-ubatan dan barangan lain diteruskan.
Pasukan penyelamat juga berusaha tanpa henti untuk mengepam keluar air sebelum keadaan cuaca mula buruk dijangka dalam masa beberapa hari lagi.
Kumpulan pelajar dan jurulatih bolasepak itu terperangkap pada selepas mereka turun ke gua berkenaan sesudah habis latihan bolasepak pada 23 Jun lepas.
Usaha menyelamat ini turut melibatkan pakar penyelam antarabangsa. – AFP, 4 Julai, 2018.
Komen