JUMLAH mangsa yang maut dalam kejadian kapal penumpang yang tenggelam di perairan Kepulauan Selayar, Sulawesi Selatan semalam, dilaporkan meningkat kepada 29 orang, manakala 41 lagi masih hilang.
Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho, kapal KM Lestari Maju yang membawa 139 penumpang dan 48 kenderaan itu karam selepas berlaku kebocoran dan faktor cuaca buruk.
“Mangsa yang terkorban setakat ini 29 orang, manakala 69 penumpang berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu Presiden Indonesia Joko Widodo dipetik media dalam talian di Indonesia melahirkan rasa kesal terhadap tragedi itu, yang disifatkannya turut berlaku akibat pengabaian aspek keselamatan.
“Selain faktor cuaca, tragedi itu juga disebabkan faktor perkhidmatan yang tidak berdisiplin,” katanya.
Pada 18 Jun lepas, sebuah kapal penumpang KM Sinar Bangun karam di perairan Danau Toba, Sumatera Utara.
Kapal yang berkapasiti tidak melebihi 80 penumpang itu dipercayai telah membawa 189 penumpang.
Pemerintah Indonesia menghentikan operasi itu semalam selepas keluarga mangsa bersetuju operasi pencarian itu dihentikan, selepas pencarian selama 15 hari itu gagal untuk mengeluarkan mangsa yang dipercayai terperangkap di dalam kapal yang tenggelam di kedalaman lebih 450meter itu. – Bernama, 4 Julai, 2018.
Komen