Presiden baharu Mexico janji peralihan kuasa lancar


Presiden Mexico baharu Andres Manuel Lopez Obrador bersalaman dengan Presiden Enrique Peña Nieto di Istana Negara itu dalam satu pertemuan semalam. – Gambar AFP, 4 Julai, 2018.

PROSES peralihan kuasa akan berlangsung secara aman dan lancar serta tidak ada apa yang perlu ditakuti, kata Presiden Mexico baharu dipilih, Andres Manuel Lopez Obrador.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Enrique Peña Nieto di Istana Negara.

“Sepanjang tempoh itu, kita harus membuat kesepakatan dalam banyak isu. Paling utama ialah untuk melakukan peralihan kuasa secara damai, tanpa perlu takut, sambil yakinkan rakyat menerusi perancangan ekonomi,” kata pemimpin Gerakan Pemulihan Kebangsaan (Morena) yang memenangi pilihan raya presiden pada 1 Julai lepas.

Lopez Obrador berkata peralihan kuasa tidak akan dilakukan sehinggalah Tribunal Pilihan Raya Mexico mengumumkan beliau sebagai presiden secara rasmi pada 1 Disember.

Beliau juga akan melepaskan kemewahan tertentu yang dinikmatinya seperti pengawal keselamatan, kediaman di Los Pinos dan pesawat presiden, sebagaimana dijanjikannya semasa kempen.

“Kediaman rasmi di Los Pinos akan dijadikan ruang untuk seni dan budaya rakyat Mexico dan saya tidak akan tinggal di sana,” katanya.

Lebih 89 juta rakyat Mexico mengundi pada pilihan raya itu, sekali gus menjadikannya jumlah paling ramai dalam sejarah negara.

Selain memilih presiden baharu, pengundi turut memilih 128 senator, 500 ahli Parlimen, lapan gabenor dan ketua kerajaan serta ribuan pegawai tempatan. – Bernama, 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen