Ribuan wanita Palestin sertai tunjuk perasaan terhadap Israel


Wanita Palestin mengadakan tunjuk perasaan terhadap rejim zionis, di timur Gaza, dekat sempadan Israel, semalam. – Gambar AFP, 4 Julai, 2018.

RIBUAN wanita Palestin mengadakan tunjuk perasaan terhadap rejim zionis, di timur Gaza, dekat sempadan Israel pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua.

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan anti Israel, sementara puluhan lagi memakai kain putih serta bertopeng hitam sambil memijak bendera Israel dan Amerika Syarikat sebagai membantah tindakan kejam rejim tersebut.

Tentera Israel melancarkan berpuluh-puluh gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan,  menyebabkan puluhan maut akibat lemas terhidu asap gas.

Sumber anggota perubatan mengatakan, pertempuran mula tercetus apabila askar Israel menembak peluru hidup yang menyebabkan tiga pemuda Palestin cedera.

Ketua penunjuk perasaan, Iktimal Hamad berkata bantahan itu sebagai “mesej kepada dunia bahawa wanita Palestin adalah tunjang utama dalam bantahan itu”.

Bantahan itu adalah sebahagian daripada “Great March of Return” atau Perarakan Pulang Besar-Besaran yang bermula 30 Mac lalu, di lima lokasi berasingan di Semenanjung Gaza, untuk melawan sekatan selama 11 tahun oleh Israel.

Sejak itu, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 135 rakyat Palestin selain mencederakan 14,000 yang lain. – Bernama, 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen