Memberdayakan Bahasa Melayu


SEMUANYA hanya riuh-rendah yang tidak ke mana-mana. Semua 23 orang doktor yang terheret dalam kontroversi boleh saja sejak awal lagi diminta untuk menduduki peperiksaan dan lulus kertas Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum dilantik ke jawatan kontrak. Mereka tidak sepatutnya diberikan sebarang pelepasan.

Memang betul apabila pengecualian dibenarkan dalam keadaan tertentu, ia akan mengundang orang lain juga memohon pengecualian. Dalam jangka masa sederhana sekali pun, ia akan memperlekehkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Dalam hal ini, Kabinet melakukan keputusan yang tepat apabila menegaskan semula kelulusan bahasa Melayu sebagai pra syarat bagi semua lantikan dalam sektor perkhidmatan awam.

Ini bagaimanapun tidak bermakna bahawa mereka yang bekerja dalam sektor swasta tidak perlu tahu bahasa Melayu. Kadang-kala orang terlupa bahawa bahasa Melayu bukan hanya bahasa rasmi tetapi ia juga bahasa kebangsaan. Dalam bahasa mudah, ia bahasa yang seharusnya boleh digunakan semua rakyat Malaysia. Apalagi, ia bahawa yang terkait dengan kerakyatan Malaysia. Dari perspektif sosio-budaya, inilah yang membezakan rakyat Malaysia.

Ertinya, bahasa Melayu seharusnya digunakan dengan lebih luas dalam sektor swasta. Tidak perlu kepada sebarang perundangan. Ia tidak menguntungkan. Orang atasan dalam syarikat besar dan ternama seharusnya apabila munasabah berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Saya selalu terkejut melihatkan keengganan sesetengah tokoh korporat bertutur dalam bahasa Melayu di televisyen misalnya apabila mereka sebenarnya bercakap kepada orang awam dalam program berita bahasa Melayu yang mana lebih masuk akal menggunakan bahasa kebangsaan. Lebih malang lagi, bahasa Inggeris yang mereka mendesak mahu gunakan itu sangat buruk sehingga kita rasa malu.

Dari satu sisi, ini adalah muhasabah tentang sikap kelompok yang sigfinikan dalam masyarakat kita terhadap bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris dikaitkan dengan status dan prestij. Ia bahasa kuasa elit. Bahasa Melayu sebaliknya boleh saja jadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tetapi ia tidak memberikan kekaguman dan aura yang ada pada bahasa Inggeris.

Ada banyak alasan yang boleh menjelaskan sikap itu. Selain latar belakang jajahan koloni British dan peranan utama bahasa Inggeris di persada global pada hari ini, satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah bahasa Inggeris selama ini jadi bahasa penentu lapisan atasan dalam ekonomi, politik, pentadbiran awam, pendidikan dan kehidupan sosial sejak berdekad-dekad lamanya. Bahasa Melayu mungkin dituturkan lebih ramai orang pada hari ini terutamanya dalam kelas bawahan dan menengah masyarakat berbandig 60 tahun lalu. Ia bagaimanapun kurang pengaruh ekonomi dan bukan pengantar ilmu saintifik dan teknologi masa kini.

Cabaran yang membelenggu bahasa Melayu ialah sikap dan kecenderungan sebahagian besar elit Melayu itu sendiri. Mereka tidak berbangga dengan bahasa Melayu. Sesetengahnya malah tidak mampu bertutur dengan baik. Pengetahuan mereka tentang bahasa, keindahannya yang ada padanya serta pencapaiannya, malangnya terhad. Ditokok pula dengan sikap negatif dan kecondongan kelompok besar elit bukan Melayu yang hampir tidak menunjukkan penghargaan atau cuba memahami bahasa Melayu. Itulah sebabnya ahli akademik seperti Khoo Kay Kim, Teo Kok Seong dan Lim Swee Tin jadi kekecualian.

Biarpun begitu, satu ikatan yang kuat dengan bahasa Melayu penting demi masa depan negara. Apabila warga bukan Melayu mengecam identitinya sepenuh hati dengan bahasa, penerimaan orang Melayu dari segi psikologi dan emosi akan sampai ke tahap yang lebih mendalam. Lihat bagaimana hubungan bukan Melayu dan Melayu di Kelantan sebagai misalan. Begitu juga apabila bahasa Melayu jadi pengantar komunikasi yang lebih berkesan dalam kalangan semua anggota masyarakat, hubungan budaya dan sosial akan jadi lebih bermakna dan lebih hakiki. Hubungan yang seperti ni akan lebih sesuai untuk melahirkan sebuah masyarakat yang lebih padu dan bersatu.

Sudah barang tentu, bahasa itu sendiri, apa juga bahasa pun, tidak akan menjamin keharmonian antara etnik. Hanya apabila keadilan dan kesaksamaan, peduli dan prihatin serta hormat kepada maruah setiap anggota masyarakat jadi nilai hidup yang meresap dalam kerangka sosial barulah kita akan jadi sebuah bangsa yang bersatu. Inilah sebuah perjuangan yang harus jadi bakti setiap warga Malaysia menjelang ulang tahun kemerdekaan yang ke-60 tidak lama lagi. – 8 Julai, 2017.

*Dr. Chandra Muzaffar ialah pengerusi Lembaga Amanah Yayasan 1Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen