Lapan ditahan selepas seorang pelancong Amerika dibunuh di Greek


POLIS Greek menahan lapan orang, termasuk enam rakyat Serbia selepas seorang pelancong Amerika mati dibelasah di sebuah bar di Pulau Zante.

Polis berkata mereka menahan rakyat Serbia itu selepas menonton rakaman CCTV, polis juga menahan penjaga bar rakyat Greek dan seorang pengawal bar warganegara Britain keturunan Serbia selepas serangan ganas yang berlaku malam Khamis lalu.

Kelapan-lapan suspek dipercayai membelasah sehingga mati Bakari Henderson, 22, seorang rakyat Amerika yang berada di situ bersama kawannya selepas pertengkaran.

Sumber polis memberitahu AFP yang kedua-dua kumpulan itu mabuk.

Media Greek melaporkan yang ibubapa mangsa dijangka tiba di Zante hari ini. Mangsa dibelasah teruk sehingga mengakibatkan kecederaan parah di kepala dan diumumkan mati selepas dibawa ke hospital.

Keganasan berkaitan alkohol juga menyebabkan kematian seorang pelancong Britain berusia 19 tahun di Lagana selepas pergaduhan tercetus antara mangsa dan dua orang pemandu teksi rakyat Greek.

Tiga tahun sebelum itu, dua orang pekerja bar membelasah sehingga mati seorang pelancong Australia di Pulau Mykonos. – AFP, 8 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen