9 pesara tentera disabit bersalah bunuh ikon Amerika Latin


Victor Jara dibunuh pada 1973 ketika rampasan kuasa disokong CIA berlaku di Chile. – Gambar EPA, 4 Julai, 2018.

SEORANG hakim Chile menyabitkan sembilan pesara tentera dengan pembunuhan salah seorang penyanyi terkenal negara itu. Victor Jara, pada 1973, kata badan kehakiman pada Selasa.

Jara,40, ditahan sehari selepas rampasan kuasa 11 September 1973 yang disokong CIA yang menyingkirkan Salvador Allende dan mengangkat Augusto Pinochet sebagai diktator.

Mayat Jara ditemui beberapa hari kemudian, dengan kesan 44 tembakan. Beliau ditahan bersama-sama hampir 5,000 tahanan politik lain dalam sebuah stadium di mana belia disoal siasat, disiksa dan dibunuh.

Antara kekejaman yang dilakukan terhadap komposer musik dan penyanyi itu adalah jari-jarinya dipatahkan kesan hentakan senjata dan kasut.

“Hakim Miguel Vazquez Plaza menyabitkan sembilan pesara tentera kerana bertanggungjawab dalam pembunuhan penyanyi Victor Jara dan bekas pengarah Penjara Littre Quiroga Carvajal pada September 1973 di Santiago,” kata kenyataan badan kehakiman.

Lapan tertuduh- yang berpangkat leftenan sehingga kolonel dan brigadier- dipenjara 15 tahun dan sehari kerana peranan mereka sebagai “penyerang” dalam kedua-dua pembunuhan itu.

Mereka juga dijatuhi penjara tiga tahun kerana menculik dua mangsa itu.

Pegawai kesembilan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan sehari kerana bersubahat dengan pembunuhan itu, dan penjara 61 hari kerana bersubahat dengan penculikan.

Penyanyi keamanan itu yang lirik lagunya berkisar kepada cinta dan bantahan sosial menjadi ikon musik Amerika Latin dengan lagu-lagu seperti “The Right to Live in Peace,” “The Cigarette” dan “I remember Amanda.”

Beliau berkahwin dengan penari Britain, Joan Turner dan mempunyai dua anak perempuan.

Jara adalah ahli Parti Komunis Chile dan penyokong tegar pakatan Perpaduan Popular yang menyokong presiden aliran Marxis, Allende yang berkuasa melalui undi popular pada 1970.

Rakan setahanannya, Littre Quiroga,33, adalah pengarah penjara negara dan militan Parti Komunis.

Mayatnya ditemui dengan kesan penderaan bersama-sama Jara dan tiga tahanan politik lain dalam sebuah lot kosong berhampiran Tanah Perkuburuan Metropolitan di Santiago. – AFP, 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen