Najib dituduh kes pecah amanah, salah guna kuasa


Kamles Kumar

Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk berdepan pendakwaan terhadapnya. Dia didakwa dengan jenayah pecah amanah berkaitan dana harta negara 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Julai, 2018.

NAJIB Razak hari ini didakwa dengan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna kuasa.

Beliau dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zainal Abidin Kamaruddin, sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pendakwaan dilakukan Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai barisan 12 pendakwa raya manakala pasukan pembelaan diterajui peguam kanan Shafee Abdullah.

Untuk tuduhan pertama, Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya sebanyak RM42 juta setelah terlibat dalam kelulusan pinjaman RM4 bilion SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Beliau didakwa melakukan jenayah itu antara 17 Ogos 2011 hingga 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali nilai suapan, mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Tiga lagi tuduhan yang dibacakan ke atasnya adalah bagi kesalahan pecah amanah terhadap wang RM4 bilion milik SRC International yang dipinjam dari KWAP itu.

Pertuduhan itu dijalanakn mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan

Bagi tuduhan pertama, Najib didakwa sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat SRC International melakukan pecah amanah melibatkan wang RM27 juta dari syarikat itu antara 24 hingga 29 Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, antara tarikh yang sama, dia didakwa pecah amanah melibatkan sebanyak RM5 juta daripada dana yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa pecah amanah melibatkan wang SRC International sebanyak RM10 juta, antara 10 Februari dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Sekiranya sabit setiap satu kesalahan, Najib boleh dihukum penjara antara dua hingga 20 tahun, serta sebatan dan denda.

Bagaimanapun, Najib, 64, akan terlepas hukuman sebatan, jika sabit kesalahan, kerana undang-undang menetapkan tiada sebatan bagi pesalah berumur lebih 50 tahun. – 4 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen