Trump mahu batal kuota universiti ikut kaum


Pentadbiran Amerika Syarikat di bawah Presiden Donald Trump dijangka akan memaklumkan pihak sekolah untuk tidak lagi mempertimbangkan soal kaum dalam proses pengambilan pelajar. – Gambar EPA, 4 Julai, 2018.

PENTADBIRAN Trump akan membatalkan syarat kuota berasaskan kaum dalam kemasukan ke universiti, dasar yang diperkenalkan semasa era Obama bertujuan menggalakkan kepelbagaian, lapor media di Amerika Syarikat.

Peguam Negara Amerika, Jeff Sessions menarik balik 24 dokumen panduan pada Selasa, kebanyakannya melibatkan soal kaum di sekolah serta cadangan mengenai tindakan afirmatif.

Penarikan balik itu dibuat ketika Universiti Harvard berdepan tindakan saman di mahmakah mendakwa ia menyekat kemasukan pelajar keturunan Asia Amerika.

Pada 2016, Mahkamah Agung Amerika membuat keputusan membenarkan tindakan afirmatif berasaskan kaum.

Hakim Anthony Kennedy yang membuat keputusan dua tahun lalu itu bulan lepas mengumumkan persaraannya.

Kekosongan yang ditinggalkan oleh hakim itu memberi ruang kepada Presiden Donald Trump melantikan seorang hakim yang lebih condong pada pendirian pentadbirannya berkenaan kaum dalam soal kemasukan ke kolej.

Pentadbiran Trump dijangka akan memaklumkan pihak sekolah untuk tidak lagi mempertimbangkan soal kaum dalam proses pengambilan pelajar.

Selain tindakan saman terhadap Harvard, Jabatan Keadilan juga sedang menyiasat universiti itu atas tuduhan diskriminasi kaum.

April lepas, jabatan itu itu meminta universiti berkenaan mendedahkan proses pengambilan pelajarnya.

Harvard menegaskan ia tidak mendiskriminasi pemohon daripada mana-mana kaum, termasuk Asia Amerika. –  Agensi, 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen