Unesco isytihar Hebron tapak warisan dunia, cetus kemarahan Israel


Hebron dianggap antara bandar tertua di dunia dan menjadi tumpuan pelbagai agama Abraham sejak zaman berzaman. – Gambar AFP, 7 Julai, 2017.

UNESCO mengisytiharkan Bandar Lama Hebron sebagai tapak warisan dunia diancam bahaya sekaligus mencetuskan kemarahan Israel dalam kemelut terbaru dengan badan antarabangsa itu.

Pertemuan agensi budaya PBB itu di Poland menerima 12 undi setuju berbanding 3 menentang -6 tidak hadir- untuk memberikan status warisan dunia kepada Bandar Lama Hebron yang terletak di Tebing Barat ditakluk Israel, yang merupakan kediaman kepada lebih daripada 200,000 rakyat Palestin dan beratus lagi pendatang haram Israel.

Jurucakap kementerian luar Israel, Emmanuel Nahshon segera mengecam keputusan itu, menyifatkannya sebagai “kepincangan moral”, mendakwa ia menafikan sejarah Yahudi di bandar itu.

“Organisasi tidak relevan menggalakkan SEJARAH PALSU. Memalukan @UNESCO,” tulisnya di akaun Twitter selepas keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Warisan Dunia menerusi pengundian rahsia ketika pertemuan di Krakow.

Resolusi yang dicadangkan Palestin itu mengisytiharkan Bandar Lama Hebron termasuk kawasan yang dihuni pendatang haram Israel sebagai kawasan yang mempunyai nilai sejagat agung yang perlu dipertahankan.

Resolusi itu dipercepatkan berdasarkan pemerhatian yang tapak itu sedang terancam apabila Palestin menuduh Israel melanggar banyak peraturan termasuklah vandalisme dan merosakkan harta benda di situ.

Kementerian luar Palestin menyifatkan keputusan Unesco itu sebagai kejayaan diplomasi Palestin walaupun menerima tentangan AS dan Israel.

Resolusi Unesco itu menyebut yang Hebron ialah salah satu bandar tertua di dunia yang wujud lebih daripada 3,000 tahun SM.

Ia pernah ditakluk Roman, Yahudi dan Mamluk.

Bandar itu menempatkan pelbagai tapak sejarah berharga dunia termasuklah makam nabi dan rasul mengikut ajaran Abraham dan tapak keagamaan penting untuk Islam dan Yahudi.

Hebron ialah kawasan tumpuan dalam konflik Israel-Palestin.

Beratus penduduk Israel tinggal dalam penempatan di situ yang dianggap tidak sah oleh dunia, dan rakyat Palestin dihalang daripada memasuki dan menggunakan jalanraya di situ.

Israel merampas Tebing Barat ketika perang 1967, PBB menganggap tindakan itu tidak sah.  

Rakyat Israel yang tinggal di Hebron dilindungi ratusan askar bersenjata Israel, dan rakyat Palestin mengatakan situasi itu menyukarkan kehidupan mereka. – AFP, 7 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen