Pakistan arah Shell bayar AS$2.48 juta kepada keluarga mangsa letupan lori


218 terbunuh apabila lori tangki membawa minyak terbalik sebelum meletup di lebuh raya utama Pakistan. – Gambar AFP, 7 Julai, 2017.

PAKISTAN mengarahkan Shell Pakistan untuk membayar sekurang-kurangnya AS$2.4 juta pampasan selepas lebih 200 orang terbunuh apabila sebuah lori tangki syarikat itu terbalik dan meletup bulan lepas.

Lori tangki itu yang diuruskan anak syarikat Royal Dutch Shell terbalik di lebuh raya utama di Punjab ketika membawa 50,000 liter minyak dalam perjalanan ke Lahore dari Karachi pada 25 Jun.

Ia meletup beberapa minit kemudian, membakar orang ramai dari kampung berhampiran yang berkumpul di situ untuk mengambil minyak yang tumpah walaupun pemandu dan polis sudah memberikan amaran supaya tidak menghampiri lori itu.

Kenyataan yang dikeluarkan jabatan kesihatan dan polis mengatakan 218 orang terbunuh dan 38 lagi mangsa masih dirawat di hospital, beberapa mereka dalam keadaan kritikal.

“Pihak Berkuasa Pengawalan Minyak dan Gas (OGRA) mendapati Shell Pakistan bertanggungjawab dalam kejadian tangki minyak itu dan mendenda mereka sebanyak 10 juta rupee (AS$100,000 dolar),” kata jurucakap pihak berkuasa Imran Ghaznavi kepada AFP.

“Shell Pakistan diarahkan membayar pampasan sejuta rupee kepada setiap satu keluarga mangsa dan 500,000 rupee untuk mereka yang cedera,” tambahnya.

Hukuman itu bermakna Shell perlu membayar sekurang-kurangnya AS$2.48 juta kepada keluarga mangsa yang terbunuh setakat ini. Tidak dapat dipastikan berapa ramai yang cedera akan menerima pampasan, atau sekiranya jumlah kematian akan terus meningkat.

Ghaznavi berkata yang OGRA sudah menghantar 21 pertanyaan kepada Shell Pakistan tentang kejadian itu, tetapi masih belum menerima jawapan.

Siasatan OGRA mendapati yang Shell tidak pernah memeriksa sekiranya lori tangki yang diupahnya daripada kontraktor persendirian mematuhi piawaian keselamatan.

Laporan itu menyebut yang Shell memaklumkan pihak berkuasa yang semua lori tangkinya mematuhi piawaian teknikal tetapi siasatan pihak berkuasa mendapati lori yang terlibat dalam kejadian itu tidak mematuhi piawaian keselamatan untuk digunakan bagi membawa muatan seberat itu.

Laporan itu turut menyebut yang sijil keselamatan lori itu “palsu” dan Shell Pakistan “gagal menyediakan senarai semak sebelum mengangkut (minyak)”. –  AFP, 7 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen