Rakan niaga Trump di Indonesia disiasat kerana mengugut


Hary Tanoesoedibjo (berbaju hijau) pernah menghadiri upacara angkat sumpah Presiden AS Donald Trump dan dilaporkan bakal membina dua hotel mewah yang akan diuruskan Trump Hotels. – Gambar AFP, 7 Julai, 2017.

RAKAN perniagaan Indonesia, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump disoal siasat polis berikutan dakwaan mengugut seorang pendakwa raya awam.

Hary Tanoesoedibjo, seorang taikun media dan hartanah yang bakal membina dua projek hotel Trump, dipanggil sebagai suspek pada hari ini selepas satu siasatan dibuat kepadanya pada Jun lepas, kata seorang jurucakap polis.

Ahli perniagaan dan politik berusia 51 tahun itu dinamakan sebagai suspek selepas polis mendakwanya melanggar undang-undang maklumat dan transaksi elektronik.

“Hari ini ialah kali kedua kami memanggil Hary Tanoesoedibjo. Kami sudah memanggilnya sebelum ini tetapi ketika itu peguamnya mengatakan dia tidak boleh datang,” kata jurucakap polis Setyo Wasisto.

Laporan polis terhadapnya dibuat Yulianto, seorang peguam.

Yulianto mendakwa yang Tanoesoedibyo mengugutnya melalui mesej pesanan ringkas pada Januari 2016.

Peguam itu mengendalikan kes rasuah melibatkan Mobile-8 Telecom, syarikat telekomunikasi milik Tanoesoedibyo.

Peguam Tanoesodibyo, Hotman Paris Hutapea menafikan mesej itu suatu ugutan.

“Sebagai manusia kita tahu apa yang dikatakan ugutan dan apa yang tidak. Apa yang dikatakannya ialah sesuatu yang semua ahli politik lakukan,” kata Hutapea kepada AFP.

Syarikat Tanoesoedibyo dalam proses pembinaan dua hotel mewah di Indonesia yang akan diuruskan Trump Hotels.

Hotel itu dirancang akan dibina di Bali dan Lido, Jawa Timur hanya beberapa jam perjalanan dari Jakarta. Pembinaan masih belum dilakukan.

Tanoesoedibyo menghadiri upacara angkat sumpah presiden AS itu Januari lepas, menyifatkan kemenangan Trump memberikan inspirasi.

Dia kini dilarang keluar negara selama enam bulan, kata seorang jurucakap imigresen kepada AFP dan sekiranya didapati bersalah boleh dipenjarakan maksimum empat tahun.

Jutawan itu bertanding dalam pilihan raya Indonesia pada 2014 merebut jawatan naib presiden tetapi gagal ke pusingan akhir.

Dia kemudiannya menubuhkan parti politiknya sendiri dan ramai mengandaikan yang dia mungkin akan bertanding dalam pilihan raya presiden 2019. – AFP, 7 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen