SYARIKAT gergasi e-dagang Jepun, Rakuten mengharamkan penjualan produk gading di laman webnya, kata syarikat itu pada Jumaat.
Menurut syarikat itu, ia disambut baik aktivis konservasi untuk mengekang aktiviti penyeludupan di peringkat antarabangsa.
Rakuten pernah didakwa menjadi platform utama pasaran gading secara dalam talian menjadi punca peningkatan kes penyeludupan kerana penguatkuasaan undang-undang lemah.
Pengharaman dibuat sejak 1989 melarang penjualan gading di peringkat antarabangsa.
Sebahagian besar gading dibenarkan penjualannya di Jepun adalah dari stok berdaftar yang dibeli sebelum pengharaman itu dikuatkuasakan.
Namun terdapat peniaga disyaki melanggar peraturan itu.
“Sebagai maklum balas terhadap pihak antarabangsa berhubung penjualan gading dan produk lain, Rakuten mengubah garis panduan untuk mengklasifikasikan pengharaman penjualan produk gading dan penyu dalam pasaran Rakuten Ichiba berkuatkuasa 1 Julai, kata syarikat itu kepada AFP.
“Kita jangkakan penyenaraian semula produk itu akan memakan masa satu hingga dua bulan sebelum dimansuhkan.”
Buat masa ini, ribuan produk gading ditawarkan di laman web Rakuten, yang mana kebanyakannya diukir nama untuk kegunaan tandatangan dokumen rasmi.
Aktivis konservasi dan perlindungan haiwan turut menyokong langkah Rakuten itu.
Ia dijangka bakal “melonjakkan” usah aantarabangsa untuk mengekang masalah itu, kata Humane Society International.
“Kami menggesa peniaga dalam talian lain seperti Yahoo Japan untuk mengikut langkah Rakuten dan meminta kerajaan Jepun menutup pasaran domestik produk gading,” kata pengurus program kumpulan itu, Iris Ho.
Jurucakap Yahoo Japan memberitahu AFP, syarikat itu tiada rancangan untuk mengharamkan produk gading buat masa ini kerana jualannya dijalankan secara sah.
Jualan gading menjadi industri yang besar di mana gading gajah dan bahagian lain haiwan itu mendapat permintaan tinggi di negara Asia dan Timur Tengah untuk cenderamata dan perubatan. – AFP, 7 Julai, 2017.
Komen