Kapal pengangkut pesawat China tiba di Hong Kong


Kapal Liaoning berukuran 305 meter itu merupakan kapal milik Soviet yang dibina 30 tahun lalu.– Gambar EPA, 7 Julai, 2017.

Kapal pengangkut pesawat China, Liaoning tiba di Hong Kong buat pertama kali hari ini kurang seminggu selepas kunjungan presiden Xi Jinping.

Kunjungan Xi menandakan 20 tahun sejak Hong Kong diserahkan kembali kepada China oleh Britain, dan menurut penganalisis lawatan itu meninggalkan keraguan di mana Beijing melihat bandar itu sebagai sisa ketidakstabilan politik yang tidak dapat diterima.

Presiden Xi turut mengadakan pemeriksaan perbarisan 20 skuad tentera Jumaat lalu dalam perarakan ketenteraan terbesar sejak dua dekad lalu di bandar itu yang turut memaparkan aset seperti helikopter dan kereta perisai.

Kapal Liaoning berukuran 305 meter itu merupakan kapal milik Soviet yang dibina 30 tahun lalu dan ditauliahkan pada 2012, tiba di Hong Kong awal hari ini.

Kapal pengangkut itu belayar melalui Terusan Emma Timur, merentasi bangunan kediaman yang terletak di selatan pulau Hong Kong dan berlabuh berdekatan wilayah Tsing Yi.

Agensi berita Xinhua melaporkan kapal pengangkut berkenaan diiringi dua kapal pemusnah dan kapal frigat. Pesawat pejuang J-15 dan dua helikopter turut berada di dek penerbangan kapal itu.

“Dengan kunjungan armada ini ke Hong Kong, saya yakin rakyat akan merasai kegemilangan pencapaian China dalam pertahanan dan ketenteraan terutamanya tentera laut,” kata pemimpin baharu bandar itu, Carrie Lam.

Lam yang baharu saja dilantik oleh Xi pada Sabtu lalu berkata, ia akan membantu rakyat untuk memahami negara itu.

Kementerian pertahanan China berkata, Liaoning, yang dinamakan sempena wilayah di timur laut China, merupakan sebahagian daripada flotila dalam “misi latihan rutin”.

Jurucakap kementerian pertahanan Wu Qian berkata, ketibaan kapal itu di Hong Kong menandakan ulang tahun ke-20 ketibaan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) ke bandar itu, – AFP, 7 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen