Peguam Umno di ibu pejabat SPRM 


Muzliza Mustafa Ravin Palanisamy

Peguam Muhammad Shafee Abdullah tiba di SPRM Putrajaya pada jam 8.40 malam dipercayai untuk bertemu anak guamhya, Najib Razak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2018

PEGUAM Umno Muhammad Shafee Abdullah dilihat memasuki bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ini. 

Beliau dipercayai mengadakan pertemuan dengan anak guamnya, Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu kini ditahan di lokap SPRM di Putrajaya sebelum didakwa di mahkamah esok. 

Najib dijangka berdepan tuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2011 pada jam 8.30 pagi esok. 

Shafee tiba pada jam 8.40 malam menaiki kereta jenis Audi. Beliau menurunkan tingkap keretanya sebelum dibenarkan masuk. 

Peguam jenayah berusia 66 tahun itu merupakan ketua pendakwaraya dalam kes liwat Anwar Ibrahim.

Sumber terdekat dengan siasatan itu juga memberitahu, anak tiri Najib, Riza Aziz yang tiba pada jam 1.30 petang di pejabat suruhanjaya itu untuk diambil keterangan berhubung skandal 1MDB tidak akan direman. 

“Beliau akan dibenarkan pulang pada jam 9 malam selepas keterangannya diambil,” menurut sumber itu. 

Riza tiba ditemani sepasukan peguam. 

Turut hadir di ibu pejabat SPRM hari ini, bekas pengerusi Felda Shahrir Samad dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebanyak 408 akaun bank dibekukan berkaitan dengan siasatan 1MDB membabitkan 811 individu dan 55 buah syarikat. – 3 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen