HONG Kong berjaya menumpaskan sindiket perdagangan gading gajah yang dipercayai terbesar sejak tiga dekad lalu awal minggu ini, lapor Reuters.
Jabatan kastam negara itu berkata, sebanyak 7,200 kilogram gading gajah yang dianggarkan bernilai HK$72 juta (RM39.6 juta) ditemui dalam kontena kargo sebuah gudang berhampiran pelabuhan.
Kontena terbabit dilabel sebagai ikan beku yang dibawa dari Malaysia.
“Terdapat 1,000 kotak separuh kosong di mana ikan beku terbabit diletakkan di sekeliling gading,” kata pegawai kastam Raymond Chan.
Menurut kumpulan konvervasi WildAid, jumlah gading yang ditemui berkemungkinan daripada lebih 700 ekor gajah.
Jabatan konservasi, perikanan dan pertanian berkata, siasatan kini dijalankan untuk mengesan dari mana kontena itu berasal. – 7 Julai, 2017.
Komen