28 maut dalam rusuhan di penjara Mexico


Anggota pasukan keselamatan Mexico menjalankan kawalan ketat di kawasan luar penjara terbabit. – Gambar EPA, 7 Julai, 2017

28 banduan dilaporkan maut dalam rusuhan yang merupakan kekejaman terbaharu di penjara Mexico.

Mayat ditemui di sekitar kawasan bangunan yang dikawal ketat, dapur dan ruang halaman penjara serta kawasan pelawat di penjara Las Cruces, Acapulco, kata jurucakap bahagian keselamatan negeri Guerrero.

“Insiden tercetus selepas dua kumpulan bertelagah dalam penjara itu,” kata jurucakap Roberto Alvarez dalam satu sidang media.

Rusuhan itu merupakan kejadian terbaharu di penjara Mexico yang dikenali padat dengan jumlah banduan.

Gabenor Guerrero turut mengarahkan siasatan dijalankan terhadap semua kakitangan penjara, kata Alvarez.

Polis negeri kini mengambil alih sementara penjara berkenaan dan disokong polis persekutuan dan tentera yang mengepung kawasan terbabit.

Pihak berkuasa sebelum ini menganggarkan lima kematian kerana hanya membabitkan kawasan keselamatan maksimum namun angka itu meningkat selepas pemeriksaan polis dijalankan.

Tiga banduan dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Pengawal penjara berkata, terdapat banduan yang dikelar pada leher menurut laporan dalaman polis. Katanya, tembakan turut dilepaskan di bangunan yang dikawal rapi itu dipercayai oleh banduan.

Kawasan luar penjara terbabit kini dikawal ketat oleh polis anti rusuhan dan pihak tentera sementara dua helikopter dikerah untuk melakukan tinjauan dari udara. – AFP, 7 Julai, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen