Tugas getir bawa keluar remaja terperangkap dalam gua 


12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di Chiang Rai, utara Thailand ditemui.– Gambar EPA, 3 Julai, 2018.

BEBERAPA jam selepas berjaya menjumpai 12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di Chiang Rai, utara Thailand malam tadi, pasukan penyelamat kini mengejar masa ketika berdepan satu lagi tugas getir.

Pasukan penyelamat diminta supaya mempercepatkan tugas untuk membawa keluar remaja dan jurulatih mereka yang terperangkap itu oleh kerana para pegawai bimbang hujan yang dijangka berlaku beberapa hari lagi akan meningkatkan paras air di dalam gua Tham Luang.

“Oleh kerana hujan dijangka berlaku dalam beberapa hari lagi, operasi membawa keluar (13 orang itu) perlu dipercepatkan. Sekiranya paras air terus meningkat, tugas ini akan menjadi lebih sukar. Kami mesti membawa mereka keluar,” kata Menteri Dalam Negeri Jen Anupong Paojinda kepada media di Bangkok.

Satu daripada kaedah yang dicadangkan adalah bagi pasukan penyelamat membantu remaja terbabit untuk menyelam dengan menggunakan peralatan menyelam di beberapa bahagian tertentu di dalam gua yang digenangi air itu, meskipun tahu tentang bahaya yang bakal dihadapi.

Remaja terbabit, berumur 11 hingga 16 tahun menurut pegawai di lapangan, bukan sahaja tidak tahu berenang, tetapi terdapat kemungkinan mereka perlu menyelam bersendirian terutamanya di laluan bawah air tertentu yang keruh dan terlalu sempit untuk memuatkan dua orang.

“Menyelam bukanlah mudah, disebabkan terdapat beberapa laluan sempit di dalam gua itu,” kata Anupong, dan menambah, usaha untuk mengepam keluar air di dalam gua itu akan dipertingkatkan bagi mengurangkan paras air untuk mempermudahkan operasi menyelamat.

Pihak berkuasa telah menempatkan beberapa pam air berkuasa tinggi di dalam kompleks gua yang sangat luas itu untuk menyalirkan keluar air banjir.

Sementara itu, gabenor Chiang Rai Narongsak Osoththanakorn berkata pemeriksaan perubatan yang dijalankan ke atas remaja itu dan jurulatih mereka mendapati kesemuanya berada dalam keadaan sihat, sungguhpun terperangkap di dalam gua selama 10 hari tanpa sebarang makanan.

Remaja berkenaan dan jurulatih mereka daripada Akademi Bola Sepak Mu Pa dijumpai oleh dua penyelam daripada Unit SEALS Tentera Laut Thai dan Britiain kira-kira 9.30 malam (waktu tempatan) malam tadi.

Ketika dijumpai, kesemua 12 remaja dan jurulatih mereka sedang duduk di atas bongkah besar yang kering, kira-kira 300 hingga 400 meter dari sebuah kawasan berpasir di dalam gua itu yang dikenali sebagai ‘Pantai Pattaya’.– Bernama, 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen