Perbicaraan semula Bill Cosby ditetapkan 6 November


Bill Cosby pernah menjadi tokoh budaya paling popular di AS kerana wataknya sebagai bapa penyayang dan doktor dalam siri TV terkenal 'The Cosby Show'. – Gambar EPA, 7 Julai, 2017.

HAKIM Pennsylvania semalam memutuskan selebriti Amerika Syarikat (AS), Bill Cosby akan menjalani perbicaraan semula atas dakwaan serangan seksual pada 6 November, selepas perbicaraan pertama berakhir dengan juri gagal membuat keputusan.

Hakim Steven O’Neill, yang dipaksa mengisytiharkan silap perbicaraan pada 17 Jun apabila panel 12 anggota gagal mencapai keputusan sebulat suara, membuat pengumuman perintah bertulis dari Norristown, di luar Philadelphia.

O’Neill mengarahkan peguam kedua-dua pihak mengemukakan cadangan soalan dan arahan pilihan juri selewat-lewatnya pada 30 Oktober.

Panel pertama, yang dipilih di Pittsburgh, menghabiskan tempoh 52 jam berbincang hingga larut malam sebelum gagal mencapai keputusan sebulat suara terhadap tiga tuduhan serangan tidak senonoh.

Pelbagai laporan media susulan kegagalan membuat keputusan itu. ABC News memetik seorang jururawat, yang tidak dikenalpasti, mengatakan 10 juri memilih mensabitkan Cosby terhadap dua daripada tiga tuduhan, tetapi dua orang mempertahankannya.

Jurucakap lain memberitahu WPXI yang panel itu tidak berjaya mendapat kata putus sebulat suara sejak awal dan undi terbahagi tujuh hingga lima semasa tempoh mempertimbangkannya, tanpa secara spesifik mengatakan majoritinya.

Kesilapan perbicaraan itu boleh dianggap kemenangan kepada perintis pelawak kulit hitam itu, kini kelihatan lemah dan hidup terasing, yang berisiko menghabiskan sisa hidupnya di penjara jika sabit kesalahan.

Cosby, yang akan menyambut ulang tahun ke-80 minggu depan, dituduh memberi dadah dan mencabul Andrea Constand di rumahnya di Philadelphia pada 2004.

Perbicaraan itu memusnahkan legasi Cosby, yang juga menjadi tokoh budaya paling popular di AS kerana wataknya sebagai bapa penyayang dan doktor dalam siri TV terkenal “The Cosby Show”. – AFP, 7 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen