Rusia penjarakan ketua penggodam akaun Twitter perdana menteri


Kumpulan penggodam itu mendakwa data yang dicuri mereka dijual kepada pembida tertinggi. – Gambar EPA, 6 Julai, 2017.

MAHKAMAH Rusia menjatuhkan hukuman penjara kepada ketua kumpulan penggodam yang memecah masuk akaun pegawai atasan Rusia hari ini.

Vladimir Anikeyev mengetuai kumpulan Shaltai Boltai yang dipercayai dalang kepada beberapa godaman berprofil tinggi termasuk akaun Twitter Perdana Menteri  Dmitry Medvedev.

Anikeyev- yang ditahan sejak Oktober 2016- didapati bersalah mendapatkan akses salah data komputer selepas perbicaraan tertutup yang diklasifikasikan sebagai “rahsia”, kata mahkamah dalam satu kenyataan.

Dia dijatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas membuat perjanjian dan bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Antara sasaran Anikeyev ialah propagandis Kremlin Dmitry Kiselyov dan penasihat presiden Andrei Belousov.

Pada 2014, kumpulan itu mengaku bertanggungjawab menggodam akaun Twitter Medvedev dan memuatnaik mesej yang mengatakan dia meletakkan jawatan untuk menjadi jurugambar bebas dan mengkritik Presiden Vladimir Putin.

Kumpulan itu disifatkan sebagai anti-Kremlin, dan tindakan mereka membocorkan beberapa email rasmi yang memalukan pihak berkuasa.

Tetapi ahli kumpulan itu memberitahu media yang mereka mengaut keuntungan dengan menjual data yang dicuri kepada pihak yang menawarkan wang.

Anikeyev tidak bercadang mencabar keputusan itu dan peguamnnya berkata dia memohon pembebasan anak guamnya serta merta selepas hukuman itu dijalankan dalam masa sepuluh hari lagi.

Penahanan Anikeyev berlaku pada masa yang sama beberapa orang pegawai atasan jenayah siber Rusia ditahan agensi keselamatan Rusia, FSB mencetuskan spekulasi kes itu berkaitan.

Bagaimanapun, tiada pengesahan yang penahanan itu ada kaitan dengan Anikeyev. – AFP, 6 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen