ANAK bongsu Presiden Indonesia Joko Widodo sedang disiasat kerana video YouTube yang dimuatnaik pada Mei lalu, yang didakwa menghina agama, lapor South China Morning Post hari ini.
Polis menerima laporan mengenai sebuah video yang dimuatnaik Kaeasang Pangarep dan akan memanggilnya untuk soal siasat, kata jurucakap Polis Jakarta Argo Yuwono hari ini.
Pengadu itu, Muhammat Hidayat seorang penduduk Bekasi. Dalam laporan yang dibuatnya, dia mengatakan yang Kaesang menghina penduduk kampung dengan menyifatkan mereka yang tidak bertoleransi sebagai “kekampungan”.
Kaeasang yang berusia 22 tahun mengecam anak ahli politik yang mengharapkan projek dan keistimewaan kerana pekerjaan ibubapa mereka.
Dia juga mengecam sikap sebilangan rakyat Indonesia yang baru-baru ini mengisytiharkan mereka tidak akan menjalankan upacara pengebumian orang Islam yang menyokong orang bukan Islam sebagai pemimpin dalam video berdurasi tiga minit yang bertajuk “Bapak mintak proyek”.
Video itu meraih hampir dua juta tontonan.
Kesnya ialah kes kedua hina agama yang berlaku sejak kebelakangan ini selepas bekas gabenor Jakarta didakwa dan dihukum penjara dua tahun, Mei lepas kerana didakwa menghina al-Quran.
Kaesang kini berada di Jerman bersama bapanya yang sedang melakukan lawatan rasmi. – 6 Julai, 2017.
Komen