SEKURANG-kurangnya 15 orang dilaporkan hilang slepas banjir menghanyutkan rumah di selatan Jepun, memusnahkan jalan raya dan air melimpah ke kawasan perkampungan, kata pihak berkuasa.
Meteorologi turut memberi amaran jangkaan cuaca lebih buruk dan tentera serta penyelamat bertungkus lumus memindahkan ribuan penduduk dari kawasan tanah runtuh dan banjir lumpur.
“Kita menyaksikan hujan lebat yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Jabatan Meteorologi Jepun kepada media.
“Ia merupakan keadaan luar biasa dengan ancaman keselamatan serius.”
Jepun mengerahkan 7,500 anggota polis, anggota penyelamat dan tentera ke kawasan terjejas terutamanya di selatan kepuauan Kyushu, sementara 40 helikopter bersedia untuk operasi menyelamat sebaik sahaja cuaca tenang, kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga.
“Terdapat banyak maklumat mengenai orang yang tidak dikenali,” katanya pada sidang media tergempar.
Ia termasuklah kanak-kanak yang dilaporkan hanyut dan pasangan yang hilang selepas kediaman mereka dihanyutkan banjir.
Kawasan yang paling teruk terjejas adalah di Fukuoka dan Oita di mana 15 orang dilaporkan hilang.
Rakaman televisyen menunjukkan arus sungai yang deras melanda kawasan perumahan, merosakkan jalan raya dan membanjiri kawasan pertanian.
Bandar Asakura antara kawasan yang teruk terjejas di mana rakaman televisyen menunjukkan banjir melanda jalan utama.
‘Setakat ini kita menerima laporan enam hingga tujuh orang hilang. Ia termasuk kanak-kanak yang dihanyutkan arus,” kata pegawai pengurusan bencana bandar Asakura, Naohisa Ouchida.
Dia bagaimanapun tidak dapat mengesahkan butiran mangsa yang hilang namun berkata pihak berkuasa menerima banyak panggilan kecemasan.
Terdapat segelintir mangsa menggunakan Twitter untuk mendapatkan bantuan. Pemilik akaun @ek2eoiNcRUqmnMI menulis: “Tolong! Kebanyakan rumah sudah dihanyutkan. Kami tujuh orang terperangkap di tingkat dua kilang.”
Hujan lebih 50cm melanda kawasan Kyushu sejak 12 jam lalu, susulan daripada taufan yang melanda kawasan itu awal minggu ini. – AFP, 6 Julai, 2017.
Komen