Pembunuhan warga emas Austria ‘bermotif agama’


Wolfgang Sobotka (kanan) menyifatkan serangan ke atas pasangan warga emas di Austria bermotifkan agama. – Gambar EPA, 6 Julai, 2017.

SEORANG lelaki warga Tunisia yang disyaki membunuh dengan kejam pasangan warga emas di Austria dipercayai bermotifkan agama, kata Menteri Dalam Negeri, Wolfgang Sobotka semalam.

Jika benar, pembunuhan Jumaat lalu di utara bandar Linz – leher wanita berusia 85 tahun dikelar dan suaminya berusia 87 tahun ditikam dan dibelasah hingga mati – menjadi serangan pertama pelampau agama di Austria, yang setakat ini tidak terbabit dalam serangan pengganas seperti di negara Eropah lain.

“Pembunuhan yang disifatkan ‘jelas bermotifkan Islamis’,” kata Sobotka pada satu sidang media di Vienna dan menambah suspek berusia 54 tahun, yang menyerah diri kepada polis itu “jelas pelampau Islam”.

Pembunuhan kejam itu menggemparkan media Austria.

Polis pada Selasa berkata, pembunuhan itu tidak menggambarkan serangan agama, di mana siasatan polis memfokuskan kepada teori suspek menyembunyikan kebencian terhadap masyarakat dan Part Kebebasan Austria (FPOe).

Suspek mengenali mangsa dan pernah menghantar barangan runcit dari kedai milik isterinya dan dipercayai pasangan itu mempunyai kaitan dengan suspek.

Sobotka berkata, siasatan itu berubah selepas pencarian yang dibuat di rumah suspek dan pemeriksaan dijalankan ke atas data elektronik miliknya.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung penemuan bukti membabitkan warga Tunisia yang menetap di Austria sejak 1989.

Suspek turut bertindak membakar kediaman mangsa sebelum menyerah diri kepada polis dan kini masih ditahan.

Canselor Christian Kern menggesa siasatan segera dibuat berhubung ancaman pengganas untuk memastikan “risiko yang wujud dan bagaimana menangganinya dengan efektif”.

Sehingga kini Austria belum terbabit dalam serangan sebagaimana yang berlaku ke atas negara Eropah lain seperti Perancis, Britain dan Jerman, walaupun ramai warga Austria menyertai jihad di luar negara.

Kementerian dalam negeri menganggarkan seramai 300 orang meninggalkan dan cuba menyertai peperangan di Syria atau Iraq – jumlah itu adalah tinggi bagi negara yang mempunyai 8.7 juta penduduk. – AFP, 6 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen