Tujuh terkorban dalam kebakaran di Afrika Selatan


Krisis perumahan Afrika Selatan bertambah buruk apabila banyak bangunan terbiar dikawal sindiket jenayah yang mengutip sewa daripada setinggan. – Gambar AFP, 5 Julai, 2017.

TUJUH orang terbunuh apabila bangunan terbiar yang didiami setinggan haram di Johannerburg terbakar hari ini, menimbulkan persoalan tentang krisis perumahan di pusat ekonomi Afrika Selatan itu.

Pekerja kecemasan berkata kebakaran berlaku di bangunan terbiar itu yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik awal pagi ini.

“Enam orang mati kerana terhidu asap tebal dan seorang lagi terbunuh apabila dia melompat turun daripada bangunan untuk melepaskan diri,” kata jurucakap Perkhidmatan Pengurusan Kecemasan, Nana Radebe.

Katanya lagi 50 orang diselamatkan daripada kebakaran itu, tujuh daripada mereka sedang dirawat di hospital kerana melecur dan terhidu asap.

Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan tetapi saksi memberitahu media tempatan yang kebakaran itu tercetus daripada penjana elektrik yang digunakan salah seorang setinggan untuk bekalan elektrik.

Setinggan haram di bangunan terbiar di ibu kota itu mencetuskan masalah besar, apabila banyak bangunan dikawal sindiket jenayah yang mengutip sewa daripada penghuni.

Menurut pegawai bandar, lebih 300,000 orang di seluruh Johannesburg berada dalam senarai menunggu bantuan perumahan kerajaan.  – AFP, 5 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen