Singapura usir dua amah diradikalkan melalui media sosial


SINGAPURA mengusir dua amah Indonesia yang didakwanya diradikalkan melalui internet, dengan salah seorang daripada mereka merancang pergi ke Syria bersama-sama teman lelaki warga asingnya untuk menyertai kumpulan Negara Islam Syria dan Iran (IS).

Menteri Dalam Negeri Kedua Desmond Lee memberitahu Parlimen yang penemuan itu membawa kepada sembilan kes pekerja domestik asing radikal yang dikesan negara itu sejak 2015. Semua mereka sudah diusir.

Pemimpin negara itu memberikan amaran yang republik itu menjadi sasaran utama serangan pengganas kerana pendirian mereka yang tegas terhadap keganasan dan reputasinya sebagai pusat kewangan serantau.

Negara itu juga menyokong pakatan antarabangsa diketuai Amerika Syarikat (AS) dengan memberikan bantuan bukan ketenteraan seperti pengisian minyak di udara untuk pesawat.

Lee dalam jawapan kepada soalan di Parlimen memberitahu yang dua orang amah itu ialah penyokong IS yang “diradikalisasikan melalui media sosial”.

“Salah seorang daripada mereka berhasrat untuk pergi ke Syria dengan teman lelaki warga asingnya untuk menyertai IS.” katanya semalam.

Tiada maklumat diberikan untuk tujuh lagi amah yang diusir sebelum ini.

Walaupun kesemua mereka tidak berniat melakukan serangan keganasan di Singapura, “kita tidak boleh menyokong mana-mana ideologi radikal…sama ada penduduk tempatan atau asing,” kata Lee.

Ratusan pekerja asing bekerja sebagai amah dan pekerja pembinaan berada di Singapura, salah sebuah negara Asia terkaya.

Pada 2015 dan 2016, Singapura menahan 40 orang pekerja asing warga Bangladesh yang bekerja di negara itu kerana didakwa merancang melakukan keganasan di negara mereka. Kesemua mereka sudah diusir, dan enam orang lagi kini dipenjarakan kerana keganasan dan pembiayaan keganasan.

Ketua kumpulan itu, Rahman Mizanur dijatuhkan hukuman penjara lima tahun pada tahun lepas. Dia beberapa kali cuba menyertai IS di Syria tetapi gagal mendapatkan visa ke Turki atau Algeria.

Kumpulan itu merancang untuk menjatuhkan kerajaan Bangladesh secara kekerasan dan menubuhkan khalifah di sana, menurut perbicaraan mahkamah. Mereka juga mengutip dana untuk menyokong tujuan mereka. – AFP, 5 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen