Penduduk di kawasan letusan Gunung Agung berpindah


Gunung yang semakin aktif sejak tahun lepas itu dilaporkan masih berterusan meletus pagi ini selepas berlaku letusan besar pada 9.04 malam tadi. – Gambar AFP, 3 Julai, 2018.

GUNUNG berapi Agung yang terletak di timur laut Bali kini diletakkan status siap siaga berikutan kembali aktif meletus sejak semalam.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho menerusi kenyataan berkata ramai penduduk di sekitar empat kilometer dari kawah gunung itu berpindah secara sukarela.

Gunung yang semakin aktif sejak tahun lepas itu dilaporkan masih berterusan meletus pagi ini selepas berlaku letusan besar dengan memuntahkan lahar dan debu beberapa kilometer ke udara pada 9.04 malam tadi, katanya.

Gambar yang disiarkan media Indonesia menunjukkan lahar mengalir dari kawah menyebabkan hutan di sekitarnya turut terbakar.

Pada Jumaat lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali ditutup sementara akibat gangguan asap dan debu letusan gunung itu.

Kali terakhir letusan kuat Gunung Agung meletus ialah pada 1963 sehingga menyebabkan lebih 1,000 penduduk maut.

“Berdasarkan pemantauan satelit menunjukkan bahawa sebaran abu vulkanik dominan mengarah ke arah barat. Hingga saat ini Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Denpasar Bali masih beroperasi normal,” katanya.

Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta meminta rakyat Malaysia agar tidak mendekati kawasan letusan itu.

“Kedutaan sentiasa memantau perkembangan letusan itu,“katanya. – Bernama, 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen